Isnin, 15 Julai 2019 | 7:13pm

Alamat tidak kemas kini cabaran terbesar daftar pengundi automatik

KUALA LUMPUR: Masalah alamat tidak dikemas kini adalah cabaran terbesar dalam pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, pada masa ini, ada ramai rakyat Malaysia yang belum mengemas kini alamat pada kad pengenalan mereka walaupun sudah menetap di tempat baharu.

Katanya, perkara itu bakal mewujudkan kekeliruan dan dakwaan wujud pengundi hantu oleh pihak tertentu.

“Apabila kita nak lakukan daftar pengundi secara automatik, kita akan ikut alamat pada kad pengenalan dan mereka bakal mengundi di kawasan alamat itu berada... tetapi kita lihat banyak rakyat Malaysia yang masih didaftarkan pada alamat lama atau di bangunan yang sudah tidak wujud.

“Apabila berlaku kejadian di mana kita ada 100 ke 200 orang di alamat (tidak kemas kini dan tidak wujud lagi) seperti itu, maka akan ada tuduhan bahawa mereka ini pengundi hantu,” katanya ketika menjadi tetamu program rancangan wawancara Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini, hari ini.

Justeru, Azhar berharap kerajaan melakukan satu program yang besar untuk meminta semua rakyat Malaysia mengemas kini alamat mereka ke alamat baharu.

Pada 11 Julai lalu, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentang semula bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, sehari selepas ia ditarik balik.

RUU itu antara lain bertujuan meminda takrif ‘tarikh kelayakan’ dalam perenggan (b) Fasal (4) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikannya maksud sebagai tarikh seseorang didaftarkan oleh SPR sebagai pemilih dalam pilihan raya.

Menerusi pindaan itu, apabila seorang warganegara mencapai umur 18 tahun dan layak untuk mengundi, dia akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR. - BERNAMA

Berita Harian X