Isnin, 15 Julai 2019 | 6:21pm
Ainul Mardhiah dibawa bersiar-siar menaiki kereta sorong bayi oleh ibu bapanya di luar sebuah hospital di London.

Ainul Mardhiah dibenarkan bersiar-siar sejam sehari

MELAKA: Sebuah rakaman video Facebook ‘live’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang dibawa bersiar-siar menaiki kereta sorong bayi oleh ibu bapanya di luar sebuah hospital di London, United Kingdom (UK), semalam, mencuri perhatian netizen.

Rakaman berdurasi 38 minit 48 saat yang tular di media sosial itu nyata mengubati kerinduan jutaan rakyat Malaysia yang sentiasa menantikan perkembangan baharu daripada bayi perempuan berusia lebih 10 bulan yang masih mendapatkan rawatan susulan di London.

Menerusi rakaman itu, bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, turut berkongsi mengenai perkembangan Ainul Mardhiah yang masih lagi memerlukan rawatan susulan, walaupun mengakui gembira dengan perkembangan rawatan diterima anaknya.

“Terima kasih semua sebab doakan Ainul. Semoga doa yang baik itu Tuhan kembalikan semula pada kalian. InsyaAllah, apabila semua selesai di sini (London), Ainul akan balik (ke Malaysia).

“Sekarang biar Ainul rehat di sini, habiskan rawatan dia. Selepas itu, kita akan jumpa InsyaAllah,” katanya dalam rakaman berkenaan yang turut ditemani isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24.

Malah, sehingga jam 5 petang tadi, video yang dimuat naik melalui Facebook Ahmad Safiuddin itu sudah ditonton lebih 55,000 netizen, dikongsikan oleh 648 orang, mendapat 484 komen serta lebih 6,000 tanda suka.

Dalam rakaman video itu, pasangan keluarga itu juga dilihat didekati oleh warga Malaysia di sana yang turut tidak melepaskan peluang bertanyakan khabar Ainul Mardiah, selain dilihat mengambil gambar bersama keluarga berkenaan.

“Maaf kerana jarang kemas kini perkembangan Ainul kerana agak sibuk di hospital. Walaupun Ainul dijaga jururawat, masih ada yang perlu belajar dengan jururawat. Telefon bimbit pun silent (disenyapkan).

“Hari ini (semalam), khas untuk rakyat Malaysia yang nak tengok Ainul,” katanya yang dibenarkan membawa Ainul Mardiah bersiar-siar selama sejam setiap hari.

Pada 10 Jun lalu, bayi berkenaan yang dilahirkan pada 13 Ogos 2018, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram dikenali ‘Germ Cell Tumor’ selepas bertarung nyawa lima jam di sebuah Hospital Kanak-Kanak di London.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit ‘Craniofacial’ hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan Dr Amalina.

953 dibaca
Berita Harian X