Isnin, 15 Julai 2019 | 5:35pm
PEGUAM Negara, Tommy Thomas. NSTP/Rosela Ismail

Pindah dana GST ke akaun lain bercanggah undang-undang

KUALA LUMPUR: Pemindahan dana bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke Akaun Hasil Disatukan bercanggah dengan peruntukan undang-undang, kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

Beliau menegaskan, kaedah pengurusan kewangan dilakukan pentadbiran terdahulu itu bertentangan dengan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Seksyen 54 Akta GST 2014.

“Hasrat Parlimen ialah supaya pembayar cukai GST menerima bayaran balik ini, justeru amalan kerajaan (terdahulu) untuk memindahkan dana ke Akaun Hasil Disatukan adalah satu keputusan yang bercanggah.

“Selain itu, pandangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan bahawa pemindahan dana bayaran balik GST ke Akaun Hasil Disatukan selari Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan adalah salah dari sisi undang-undang.

“Perkara 97(1) tidak menyatakan dana berkenaan harus dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan, sebaliknya ia perlu dimasukkan ke Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

“Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan ini turut meliputi Akaun Hasil Disatukan dan pelbagai Tabung Amanah Kerajaan, termasuk Tabung Amanah GST,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Memorandum Isu GST yang dilampirkan menerusi surat rasmi kepada Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bertarikh 9 Oktober, tahun lalu.

PAC hari ini membentangkan Laporan Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh JKDM di bawah Kementerian Kewangan.

Prosiding tuntutan tunggakan bayaran balik GST itu dimulakan pada 12 September, tahun lalu.

Tommy berkata, Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menggariskan bahawa ia tertakluk kepada peruntukan berkaitan, termasuk prinsip asas undang-undang amanah seperti Akta Tatacara Kewangan dan Akta GST.

“Jika diteliti implikasi perundangan, persoalan mengenai sama ada aspek liabiliti jenayah boleh dikaitkan dengan isu pecah amanah tidak diketengahkan (dalam siasatan PAC).

“Ia bagaimanapun harus dipertimbangkan selanjutnya kerana kini menjadi sebahagian daripada siasatan jenayah kendalian polis,” katanya.

Beliau berkata kerajaan wajar menghentikan semua langkah pemindahan dana bayaran balik GST ke Akaun Hasil Disatukan.

Katanya, dana bayaran balik cukai berkenaan sebaliknya harus dipindahkan terus ke Tabung Amanah GST.

“Kerajaan harus merungkai isu liabiliti pecah amanah (dana bayaran balik GST) secara proaktif dengan mendapat suatu persetujuan bersama pemegang taruh pembayar cukai bagi mengelak kadar bayaran litigasi yang tinggi,” katanya.

1439 dibaca
Berita Harian X