Isnin, 15 Julai 2019 | 3:55pm
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli

Audit: PAC panggil 7 kementerian, jabatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tujuh kementerian dan jabatan kerajaan berhubung laporan audit prestasi bagi program, aktiviti dan projek kerajaan yang dikeluarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata sebagai permulaan, PAC akan memanggil pengurusan Unit Pembangunan Sosioekonomi untuk Masyarakat India (SEDIC) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kastam serta Kementerian Kewangan berhubung isu subsidi gas petroleum cecair (LPG).

Katanya, kementerian dan jabatan kerajaan akan dipanggil selepas PAC bermesyuarat bagi membincangkan bentuk prosiding sesuai, seperti diketengahkan laporan audit berkenaan.

“PAC akan menetapkan tarikh untuk memanggil kementerian dan jabatan berkenaan.

“Mana-mana ketua setiausaha yang dipanggil perlu menghadirkan diri pada tarikh ditetapkan dan jika tidak dapat hadir kerana kekangan tugasan, mereka perlu menghantar surat rasmi dan memberi tarikh sesuai untuk menghadiri prosiding PAC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Audit Negara di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid mengemukakan LKAN 2018 yang mengandungi 16 buku berkaitan laporan prestasi aktiviti, prestasi bagi program, aktiviti dan projek kerajaan persekutuan; laporan kewangan kementerian dan jabatan kerajaan serta laporan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan.

Tujuh kes membabitkan enam kementerian dan jabatan kerajaan dikemukakan Ketua Audit Negara untuk pertimbangan PAC.

Ia membabitkan pengurusan aktiviti SEDIC, JPM; isu subsidi LPG Jabatan Kastam, Kementerian Kewangan; kes kawalan pekerja asing membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN); dan aktiviti di Unit Kecemasan dan Trauma Kementerian Kesihatan.

Turut tersenarai, kelewatan enam tahun pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis dan hab pendidikan tinggi di Pagoh membabitkan Kementerian Pendidikan serta kes Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Noraini berkata, Ketua Audit Negara turut memaklumkan prestasi 19 projek kerajaan membabitkan 11 kementerian.

“Daripada jumlah itu, enam projek mencapai prestasi yang ditetapkan manakala satu projek tidak mencapai tahap ditetapkan, lapan projek belum mencapai tahap prestasi dan empat tidak dapat diukur prestasinya.

“Turut disenarai, tujuh kes membabitkan pembayaran tidak wajar bernilai RM38.73 juta dan lima kes dikesan membabitkan ketirisan bernilai RM1.76 bilion dan enam kes dikategorikan sebagai membazir bernilai RM26.47 juta.

“Antara sebab kelemahan prestasi projek kerajaan adalah kelemahan perancangan projek, kelemahan aspek bayaran, pentadbiran kontrak tidak teratur, pembinaan tidak mengikut kualiti dan spesifikasi ditetapkan serta kelemahan pemantauan projek,” katanya.

Sementara itu, Nik Azman berkata, prestasi pengurusan kewangan terbaik dianugerahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memperoleh 97.1 peratus, diikuti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan 94.4 peratus serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) memperoleh 93.4 peratus.

Katanya, ini adalah tahun terakhir Jabatan Audit membuat audit prestasi pengurusan kewangan.

“Mulai tahun depan, sistem pengauditan penilaian prestasi kewangan kementerian dan jabatan kerajaan akan dilakukan dengan terperinci dan lebih mendalam,” katanya.

Berita Harian X