Isnin, 15 Julai 2019 | 12:41pm

Audit: Prestasi skim pinjaman MIDF belum capai tahap kecekapan optimum

KUALA LUMPUR: Prestasi pencapaian skim pinjaman ditawarkan oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) secara keseluruhannya belum mencapai tahap kecekapan yang optimum kerana penggunaan dana hanya mencapai antara 73.2 peratus hingga 74.2 peratus dari saiz dana sedia ada bagi tahun 2015 hingga 2017.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018: Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 1, prestasi penggunaan dana bagi Skim Pinjaman Mudah Untuk Sektor Perkhidmatan (SLSSS), Skim Pinjaman Mudah Untuk Usahawan Automotif Bumiputera (SLBAE) dan Skim Pinjaman Mudah Bagi Pengeksportan Perkhidmatan (SLSSE) adalah kurang cekap kerana hanya mencapai antara sifar hingga 40.6 peratus bagi tempoh yang sama.

Berdasarkan laporan kajian impak, pencapaian outcome bagi Skim Pinjaman Mudah Bagi Automasi dan Modenisasi (SLSAM) telah berjaya membantu syarikat meningkatkan keuntungan melalui pemberian pinjaman yang digunakan bagi pembelian mesin, jentera dan alatan automasi untuk membantu syarikat dalam meningkatkan operasi perniagaan.

“Penemuan utama audit yang perlu diberi perhatian dan tindakan oleh MIDF adalah seperti berikut, penggunaan dana bagi dua skim pinjaman iaitu skim SLSSS dan SLBAE masing-masing hanya mencapai kadar tertinggi sebanyak 40.3 peratus dan 40.6 peratus manakala bagi skim SLSSE pula tidak merekodkan penggunaan dana bagi tempoh tiga tahun yang dinilai.

“Selain itu, pinjaman tidak berbayar (NPL) bagi dua skim pinjaman iaitu SLSCD dan SLBAE direkodkan pada kadar tertinggi masing-masing sebanyak 17.3 peratus dan 21 peratus berbanding skim SLSME, SLSAM dan SLSSS bagi tahun 2015 hingga 2017,” katanya.

Sehubungan itu bagi meningkatkan prestasi dan pencapaian objektif skim pinjaman, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah MIDF perlu mengambil langkah yang proaktif dan berkesan untuk menambah baik perkara yang dibangkitkan dalam laporan ini.

Pihak Audit mengesyorkan pihak yang terbabit memberi pertimbangan untuk meningkatkan penggunaan dana skim SLSSS dan SLBAE ke tahap yang optimum.

“Meningkatkan usaha kutipan bayaran balik pinjaman bagi skim SLSCD dan SLSME supaya kutipan bayaran balik boleh disalurkan kepada peminjam lain.

“Mengkaji semula skop skim atau keperluan geran dari kerajaan bagi skim SLSSE yang tiada sambutan supaya dana dapat digunakan dan dimanfaatkan untuk lain-lain skim,” katanya.

MIDF ialah institusi pembangunan kewangan milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menyediakan perkhidmatan kewangan dalam bidang teras iaitu perbankan pelaburan, pembiayaan pembangunan perniagaan, pengurusan aset/dana dan pembiayaan mezanin.

MIDF menggalakkan pembangunan sektor perkhidmatan dan pembuatan di Malaysia melalui penyediaan pinjaman kewangan kepada syarikat.

Bagi pemberian pinjaman, MIDF mendapat pinjaman mudah tanpa faedah dari Kementerian Kewangan Malaysia dan geran dari penyedia dana iaitu antaranya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Sehingga bulan Disember 2017, MIDF telah menerima sejumlah RM2.262 bilion pinjaman mudah dan geran daripada penyedia dana untuk diberikan kepada peminjam yang layak bagi enam skim pinjaman.

Berita Harian X