Ahad, 14 Julai 2019 | 3:57pm
Khalid berucap pada majlis Penyampaian Perjanjian Ganti Rumah di Pangsapuri Taman Segar. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Pemaju digalak bangun semula perumahan lebih 30 tahun

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan menggalakkan pemaju perumahan untuk mengemukakan kertas cadangan bagi pembangunan semula kawasan flat atau pangsapuri usang yang berusia lebih 30 tahun.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata secara dasarnya kementerian menyokong penuh usaha pembangunan semula perumahan berusia lebih 30 tahun yang dibangunkan di sekitar ibu negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi pihak pemaju supaya pembangunan dicadangkan berjalan lancar dan teratur.

“Konsep penggantian unit perumahan baharu kepada pemilik asal flat atau pangsapuri sebegini memang mendapat sokongan kami.

“Kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sedang mencari tempat dan pemaju yang sanggup melakukan projek berkonsep ini di lokasi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat hartanah, Upper Label Sdn Bhd dan penduduk Pangsapuri Taman Segar, di sini, hari ini.

Majlis itu menyaksikan seramai 300 pemilik rumah membabitkan tiga blok di Pangsapuri Taman Segar bakal menghuni kediaman baharu berkeluasan 900 kaki persegi berbanding 500 kaki persegi sekarang.

Selain itu, difahamkan pemaju akan turut menyediakan kelengkapan dan kemudahan baharu di perumahan terbabit.

Khalid berkata, terdapat beberapa lagi projek seumpama ini bakal dijalankan di sekitar ibu negara antaranya Taman Ikan Emas, Cheras; Taman Air Madu, Setapak; Kampung Pasir, Segambut dan Sentul.

“Pendekatan kerajaan adalah menggalakkan pemaju berbincang dengan pemilik perumahan dan menyediakan kertas cadangan yang membolehkan pemilik bersetuju untuk pembangunan semula,” katanya.

Berita Harian X