Sabtu, 13 Julai 2019 | 7:01pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. - Foto Saddam Yusoff

3 inisiatif Kementerian Wilayah untuk graduan B40 menganggur

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan memperkenalkan tiga inisiatif termasuk program latihan kemahiran bagi membantu graduan daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menganggur.

Menteri, Khalid Abd Samad, berkata pihaknya akan memulakan program latihan kemahiran untuk graduan B40 dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan supaya mereka boleh berdikari untuk mencari pendapatan.

“Isu graduan B40 menganggur ini antara masalah yang cuba kita atasi, ...soal nak mewujudkan pekerjaan untuk graduan baharu ini memerlukan usaha berterusan tetapi ia banyak bergantung kepada syarikat swasta.

“Kita mesti ada satu pendekatan kreatif dalam menggalakkan golongan graduan mendapatkan pekerjaan dan di pihak kita beberapa perkara yang diusahakan antaranya kita akan memulakan program latihan kemahiran buat mereka.

“Selain itu, inisiatif lain yang kita lakukan ialah dengan membantu golongan graduan yang ingin memulakan perniagaan seperti ‘food truck’ melalui usaha tertentu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat dan Sijil Anugerah Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019.

Pada masa sama, Khalid berkata, pihaknya melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sedang menyediakan perumahan mikro kepada golongan bujang B40 yang baharu memulakan pekerjaan di ibu kota.

Katanya, melalui perumahan mikro itu, bangunan komersial milik DBKL yang terbiar kosong akan diubah menjadi 300 hingga 400 bilik sebagai kediaman buat golongan muda yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan pekerjaan.

“Mereka ini tidak memerlukan sebuah rumah namun cukup dengan kemudahan hostel yang boleh mengurangkan perbelanjaan mereka di mana sewanya tidak melebihi RM100 sebulan,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan peluang melanjutkan pelajaran di menara gading, kini bukan lagi jaminan bagi anak-anak daripada keluarga miskin serta kelompok kumpulan pendapatan isi rumah B40 untuk mengubah nasib keluarga dan diri.

Berbekalkan diploma dan ijazah yang dimiliki selepas dua hingga empat tahun pengajian, peluang mereka memperoleh pekerjaan bergaji setimpal kelulusan kelihatan semakin sukar, melainkan jika berpeluang menyertai perkhidmatan awam.

Situasi itu menyebabkan peningkatan jumlah graduan dan siswazah menganggur, selain ramai terpaksa menceburi pekerjaan bukan bidang pengajian, selain dibayar gaji atau imbuhan tidak setimpal kelulusan dimiliki.

Sementara itu, Khalid berkata, pihaknya akan berusaha untuk menyediakan kemudahan buat pergerakan Pengakap Kuala Lumpur membabitkan sebuah pejabat operasi dan tapak perkhemahan bagi memudahkan mereka melakukan aktiviti.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan mencadangkan kepada DBKL untuk memberi keutamaan kepada Pengakap di daerah untuk menggunakan semua taman rekreasi di sekitar Kuala Lumpur bagi kegiatan mereka.

Berita Harian X