Jumaat, 12 Julai 2019 | 7:15pm
LATHEEFA (kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia. - Foto BERNAMA

SPRM tawar sistem, khidmat nasihat laksana perisytiharan harta ADUN

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan satu sistem dan khidmat nasihat kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan langkah perisytiharan harta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, berkata perisytiharan harta itu bagi memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan yang lebih telus.

“Usul mewajibkan perisytiharan telah diluluskan di Parlimen, jadi kini kami (SPRM) akan ke setiap negeri supaya mereka (kerajaan negeri) juga mengambil prinsip ini dan menerima usul berkenaan untuk dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mereka perlu menunjukkan komitmen terhadap isu ini kerana pengisytiharan harta ini ada kebaikannya, yang akan menampilkan sesebuah negeri itu komited untuk sebuah pentadbiran yang lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata usaha kerajaan Sarawak menempatkan seorang Pegawai Integriti di setiap jabatan dan agensi termasuk di Pejabat Ketua Menteri, satu langkah yang baik dan proses perisytiharan harta adalah kesinambungan daripada usaha berkenaan.

“Itu perkara yang SPRM tekankan kerana jika negeri mengadakan perisytiharan harta, ia memudahkan orang ramai untuk menilai dan mempercayai pentadbiran mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, SPRM sedang menyiasat kes membabitkan individu berprofil tinggi, bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara.

“Namun, selagi kes ini masih disiasat, SPRM tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat berkaitan dan SPRM akan membuat siasatan dengan adil,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor dipetik media tempatan berkata, sebarang laporan atau aduan mengenai rasuah membabitkan individu berprofil tinggi di negeri ini akan dirujuk kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya kerana SPRM Sarawak hanya bertindak sebagai pejabat perhubungan. - BERNAMA

Berita Harian X