Jumaat, 12 Julai 2019 | 10:43am
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Arab Saudi sempena lawatan khas ke negara itu bermula hari ini hingga 14 Julai.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan khas selama tiga hari itu adalah atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

“Lawatan khas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI ke Arab Saudi ini melambangkan kesinambungan hubungan dua hala yang akrab dan istimewa antara kedua-dua negara.

“Lawatan khas ini juga akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi,” menurut kenyataan Wisma Putra itu.

Keberangkatan Sultan Abdullah ke Arab Saudi itu diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan Istana Negara. - BERNAMA

Berita Harian X