Khamis, 11 Julai 2019 | 4:31pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Persiapan bagi istiadat pertabalan Agong lancar

KUALA LUMPUR: Persiapan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan berlangsung pada 30 Julai ini berjalan lancar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, berkata sebanyak 60 peratus persiapan sudah dilakukan bagi menyambut hari bersejarah itu.

“Lagi 40 peratus itu untuk melihat perkara teknikal...dari segi hendak membuat persembahan, tengok pentas, khemah, makanan dan katering. Saya yakin Insya-Allah dalam tempoh 14 hingga 19 hari ini, kita mampu untuk persediaan 100 peratus,” katanya.

Beliau bercakap kepada BERNAMA selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara Sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 kali kedua di sini, hari ini.

Mujahid berkata, persiapan rapi dilakukan bagi memastikan semua acara yang dirancang sempena istiadat pertabalan tersebut berjalan dengan sempurna.

Antaranya, Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat, Majlis Santapan Diraja, Lawatan Raja Permaisuri Agong ke Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur dan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja, Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya, Khutbah Khas dan Solat Jumaat di Masjid Negara dengan khutbah yang disediakan secara khusus untuk dibacakan di seluruh negara.

Mujahid berkata, warkah persilaan telah selesai diberikan kepada semua tetamu kehormat bagi meraikan istiadat pertabalan itu.

“Kami telah adakan persilaan (mempersembahkan warkah persilaan) kepada tetamu dan turut menerima maklum balas kehadiran mereka sama ada dari dalam dan luar negara,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X