Rabu, 10 Julai 2019 | 11:31pm
Ainul Mardhiah masih dirawat di Hospital Kanak-kanak di UK. - Foto Ihsan FB Ahmad Safiuddin

Batuk, demam punca kepulangan Ainul Mardhiah ditangguh

KUALA LUMPUR: Faktor kesihatan antaranya demam dan batuk sejak Isnin lalu menjadi faktor penerbangan bayi perempuan yang selamat menjalani rawatan kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, ke Malaysia ditangguhkan.

Perkara itu dikongsikan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, di laman sosial Instagram, hari ini.

Menerusi status terbaharu itu, Nurul Erwani berkata, Ainul sepatutnya dibenarkan pulang ke tanah air pada Isnin lalu jam 9.30 malam (waktu London) dan dijangka tiba Selasa jam 5.30 petang (waktu Malaysia).

“Segala persiapan sudah dilakukan dan doktor benarkan Ainul pulang. Doktor juga sudah check (periksa) keadaan Ainul pada Jumaat dan Ainul sangat baik.

“Siapa sangka, perancangan Allah Maha Hebat. Kami tak dapat pulang atas faktor kesihatan Ainul tidak mengizinkan untuk berada dalam kapal terbang.

“Ainul demam dan batuk pada pagi Isnin, hari kepulangan kami ke Malaysia. Ada hikmah semua ini berlaku. Allah tahu apa yang terbaik untuk kami,” katanya.

Justeru, ibu kepada bayi berusia 10 bulan itu meminta semua pihak sabar, bertenang dan sentiasa selitkan doa baik-baik mereka.

“Saya juga minta pada Allah supaya apa yang berlaku ketika ini memberi sinar bahagia kepada kami sekeluarga pada waktu mendatang,” katanya.

Nurul Erwani berkata, ibu bapa pasti bersedih apabila anak yang dikandung dalam perut menghadapi pelbagai ujian.

“Tapi kesedihan itu semua tidak akan patahkan semangat bila kita dapat tengok anak kita setiap masa, dapat meluangkan masa bersama setiap hari,” katanya.

Dia turut berterima kasih kepada semua yang memberi semangat, mendoakan dan memberi pertolongan kepada keluarganya.

“Saya amat hargai dan harap tuhan membalas semua kebaikan ini serta memudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.

“Bercakaplah perkara yang baik kerana percakapan kita adalah doa. Salam sayang daripada saya dan Ainul Mardhiah,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan keluarga Ainul Mardhiah terpaksa membatalkan rancangan pulang ke negara berikutan keadaan bayi perempuan itu yang tidak sihat.

Ainul Mardhiah sebelum ini dilaporkan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di sebuah Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu, terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1juta itu, berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri.

404 dibaca
Berita Harian X