Rabu, 10 Julai 2019 | 2:33pm
PENGERUSI Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Proses cerai enam jam ikut hukum syarak - MAIS

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan proses perceraian yang hanya mengambil masa enam jam di negeri ini dibuat berlandaskan hukum syarak.

Pengerusinya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata pihak berkaitan sudah mengambil kira kewajaran proses perceraian itu dipercepatkan.

“Keputusan (perceraian) dibuat berdasarkan hukum syarak dan ikut undang-undang. Dalam isu ini, Mahkamah Syariah dan Hakim Syarie mengikut SOP (prosedur operasi standard).

“Lainlah jika Hakim Syarie tidak ikut SOP, selagi ikut SOP, selagi berlandaskan hukum, ia tidak perlu dipertikaikan. Ini pandangan saya secara umum,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Mohammed Khusrin berkata, semua pihak perlu mengambil kira kes perceraian yang tergantung begitu lama sehingga menafikan hak mangsa cerai, terutama wanita untuk mendapatkan keadilan serta kehidupan yang lebih baik.

Isu proses perceraian yang hanya mengambil masa enam jam di Selangor dibangkitkan dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Ia dibangkitkan oleh Datuk Jalaludin Alias (BN-Jelebu) dalam sesi pertanyaan lisan, yang turut mendakwa proses perceraian ekspres di Selangor antara punca negeri itu mencatat kes perceraian tertinggi di negara ini.

Pada Jun 2015, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) mempermudahkan proses perceraian daripada 90 hari kepada enam jam bagi mengatasi isu kerenah birokrasi penyelesaian kes cerai di negeri ini.

Bagaimanapun, proses perceraian ekspres itu hanya untuk penyelesaian kes cerai dengan talak yang difailkan secara persetujuan bersama mengikut Seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (2003).

Pelaksanaan kes cerai itu memerlukan dokumen lengkap, pasangan suami isteri hadir, persetujuan bersama untuk bercerai, isteri dalam keadaan suci dan tidak dicampuri, tidak mengandung, putus haid atau tidak pernah disetubuhi dalam tempoh perkahwinan serta mahkamah berpuas hati dengan alasan pecah belah (syiqaq).

Berita Harian X