Selasa, 9 Julai 2019 | 8:27pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidng media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - NSTP/Muhaizan Yahya

Perak serah kepada polis siasat dakwaan babitkan EXCO - MB

IPOH: Kerajaan negeri Perak menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku serangan seksual yang didakwa membabitkan seorang anggota EXCO negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kerajaan negeri memandang serius dakwaan berkenaan dan meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh secara telus dan profesional.

“Kerajaan negeri dimaklumkan mengenai satu laporan polis oleh seorang pembantu rumah yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh majikannya, yang juga anggota pentadbiran kerajaan negeri.

“Susulan dakwaan itu, kerajaan negeri menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan yang yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, sebarang keputusan berhubung kedudukan anggota pentadbiran berkaitan akan diputuskan selepas pihak polis menyelesaikan siasatan.

Media hari ini melaporkan, seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dicabul oleh majikannya yang juga seorang EXCO Kerajaan Negeri Perak.

Mangsa yang berusia sekitar 20-an membuat laporan polis Isnin lalu selepas dicabul majikannya berusia sekitar 40-an, sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum tindakan susulan diambil, termasuk proses menahan EXCO terbabit.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mangsa termasuk merakam percakapannya.

554 dibaca
Berita Harian X