Selasa, 9 Julai 2019 | 8:00pm

EKSKLUSIF: Lapan inisiatif bantu senang dapat kerja

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Tinggi sudah menyusun semula program akademik di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkasa pendidikan tinggi dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Dalam maklum balas kepada laporan BH mengenai siswazah dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B4) paling ramai menganggur, jabatan itu memaklumkan, rombakan turut bertujuan membantu siswazah B40 memasuki pasaran kerja itu, dilaksanakan menerusi lapan inisiatif.

Inisiatif pertama, meningkatkan kemampuan graduan berkomunikasi lebih fasih dalam bahasa Inggeris menerusi Malaysian English Assessment (MEA), kaedah pentaksiran baharu bahasa itu mengikut skala Common European Frame Work of References for Languages (CEFR).

“Peluang mendapat pekerjaan adalah lebih tinggi dalam kalangan graduan bukan kumpulan B40 kerana kemampuan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris adalah lebih fasih.

“Untuk mengatasi masalah ini, Kementerian Pendidikan memulakan MEA, iaitu sebahagian daripada English Road Map dengan semua siswazah perlu sekurang-kurangnya berada pada tahap B2 CEFR,” kata jabatan berkenaan, semalam.

CEFR adalah skala menggambarkan tahap penguasaan dan kecekapan berbahasa Inggeris. Ia mengandungi enam tahap CEFR dan B2 adalah tahap keempat dengan pelajar dalam skala itu diklasifikasi independent user atau ‘pengguna bebas’ yang boleh berbahasa Inggeris dengan fasih.

Ahad lalu, BH melaporkan peluang ke menara gading bukan lagi jaminan bagi anak daripada keluarga miskin serta B40 mengubah nasib keluarga dan diri kerana peluang memperoleh kerja bergaji setimpal kelulusan makin sukar.

Situasi itu menyebabkan peningkatan jumlah siswazah menganggur, selain ramai terpaksa menceburi pekerjaan bukan bidang pengajian, dibayar gaji atau imbuhan tidak setimpal dengan kelulusan dimiliki.

Jabatan berkenaan berkata, inisiatif kedua adalah pembabitan lebih mendalam pihak industri dalam membentuk kurikulum dan program di universiti, selain dalam kaedah penyampaian pendidikan tinggi.

“Jika sebelum ini pihak industri hanya bertindak sebagai penasihat sesuatu program akademik, kini mereka juga terbabit dalam proses pengajaran dan mendedahkan pelajar kepada masalah sebenar industri sebagai tugasan. Pada 2023, disasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga pengajar di universiti awam ada pengalaman industri.

“Sasaran itu bagi semua universiti awam kecuali bagi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang akan mempunyai 50 peratus tenaga pengajar dari industri,” katanya.


Keratan akhbar BH Ahad, lalu.

Jabatan itu berkata, inisiatif seterusnya memperkenalkan program akademik 2u2i, program pembelajaran berasaskan pekerjaan yang memberi pendedahan industri kepada pelajar sepanjang pengajian mereka.

Katanya, 2u2i memberi lebih pendedahan dan pengalaman kepada graduan menerusi 33 program ditawarkan, menerusi pendekatan Work Based Learning bagi memberi pengalaman industri dari awal pengajian di universiti.

“Tempoh minimum latihan industri pelajar juga dilanjutkan kepada enam bulan bagi setiap program, dilihat sebagai langkah positif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Inisiatif keempat, MTUN akan menawarkan sembilan program Sarjana Muda Teknologi bermula September ini, dicadang menggunakan acuan BTech Craftmanship dengan komposisi lima elemen utama dan dibentuk berasaskan kemahiran, kehendak serta keperluan semasa industri.

Jabatan itu berkata, elemen utama itu adalah kecekapan dalam kemahiran berkaitan; berpengetahuan dalam keusahawanan, ekonomi, undang-undang dan peraturan; kesedaran kepada kualiti dan personaliti serta kebolehan melatih bakat muda.

“Inisiatif seterusnya, mentransformasi program akademik agar selaras perkembangan dibawa Revolusi Perindustrian 4.0 dan dapat membentuk graduan tersedia masa hadapan.

“Antaranya, membangunkan kurikulum dan kaedah pembelajaran sejajar kehendak industri yang boleh dibahagi kepada tiga elemen, iaitu kurikulum mudah lentur dan organik, penyampaian pembelajaran dan pengajaran transformatif serta pentaksiran alternatif,” kata jabatan itu sambil menambah, inisiatif keenam adalah pendidikan fleksibel seperti kursus terbuka dalam talian secara besar-besaran (MOOCs) dan pentauliahan mikro (micro-credential).

Katanya, pendidikan fleksibel diharap memudahkan lagi proses pembelajaran kerana pelajar tidak terikat kepada pengajian di dalam kelas, malah kredit pengajian melalui kursus MOOCs boleh dipindahkan ke dalam program akademik diikuti mereka.

“Pelajar juga boleh bekerja semasa mengikuti program terbabit. Micro-credential pula pensijilan kepada satu set pembelajaran, kursus, modul atau unit lebih kecil untuk memberi pelajar pengetahuan, kemahiran, nilai dan kompetensi dalam bidang pengajian lebih spesifik.

“Pelajar boleh mengumpul lencana digital bagi setiap modul atau kursus yang dilengkapkan bagi penganugerahan sijil digital. Ini akan memberi kelebihan kepada graduan dan meningkatkan kebolehpasaran,” katanya.

Inisiatif seterusnya adalah program Service Learning Malaysia Universiti for Society (SULAM) yang dilancarkan 13 April lalu, iaitu kaedah pembelajaran mengikut disiplin yang menghubungkan khidmat komuniti dengan hasil pembelajaran kursus.

“Ia bagi menyelesaikan permasalahan sebenar komuniti dan berteraskan kasih sayang, kebahagiaan serta saling menghormati. Program ini akan memperkasakan proses pembelajaran berasaskan pengalaman dan meningkatkan kualiti modal insan.

“Inisiatif kelapan, National Outcome Based Learning (NOBLe), satu usaha memperkukuh pelaksanaan Outcome Based Education (OBE). Ia juga menyokong lonjakan graduan holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang serta memperkasakan pengetahuan pensyarah dalam menggunakan NOBLe,” katanya.

Berita Harian X