Selasa, 9 Julai 2019 | 6:55pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Seorang lagi Orang Asli suku Batek maut akibat campak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kematian akibat campak dicatatkan semalam membabitkan seorang wanita Orang Asli suku Batek di Hulu Terengganu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat jangkitan itu seramai empat orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata mangsa berumur 39 tahun itu sebelum ini dirawat di Wad Isolasi Hospital Hulu Terengganu sejak 29 Jun dan disahkan dijangkiti campak melalui ujian makmal.

“Mangsa didiagnoskan sebagai mempunyai simpton campak seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada jam 7.40 malam hari sama (8 Julai).

“Bedah siasat dijalankan untuk mengesahkan punca pneumonia namun analisa bedah siasat belum diperoleh ,” katanya selepas merasmikan Pusat Latihan Simulasi dan Kemahiran (PLSK) di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Syafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon; Pengarah HKL, Dr Heric Corray; Pegawai Urus Tadbir dan Selian PLSK HKL, Dr Hanif Hussein.

Sejak wabak ini dilaporkan pada 3 Jun lalu sehingga 9 Julai, kumulatif kes bergejala yang dilaporkan adalah sebanyak 178 kes, iaitu di Kelantan (147 kes bergejala termasuk tiga kematian), Terengganu (23 kes bergejala, dengan satu kematian) dan Pahang (lapan kes bergejala, tiada kematian).

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai perkembangan gejala sesak nafas di Pasir Gudang, Johor, Dzulkefly berkata satu kes baharu dilaporkan dan diberi rawatan sebagai sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Masai, Johor Bahru.

Bagaimanapun katanya tiada kes yang berada dalam wad.

“Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial menjalankan saringan kesihatan mental terhadap mangsa.

“Secara kumulatif sehingga hari ini, sejumlah 751 orang awam termasuk kanak-kanak menerima khidmat bantuan awal psikososial.

“Manakala 520 daripada jumlah itu menerima intervensi psikologi dan 27 kes dirujuk untuk penilaian lanjut. Semua gejala kanak-kanak dengan keresahan diambil tindakan di klinik pakar psikiatri kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, PLSK yang dilancarkan itu dilengkapi peralatan simulasi terbesar dan lengkap di negara serta terkini di rantau Asia dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan secara latihan melalui simulasi.

Lebih 30 penganjuran kursus dan bengkel diadakan sejak tahun lalu membabitkan pembabitan enam negara luar sebagai peserta kursus.

Ia turut menawarkan kaedah latihan secara virtual, melatih dan mendidik kategori pengamal perubatan tanpa menggunakan pesakit, menawarkan perkhidmatan kepada semua hospital dan juga institusi luar atau badan bukan kerajaan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

137 dibaca
Berita Harian X