Selasa, 9 Julai 2019 | 6:09pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Ujian keserasian atasi perceraian - Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Proses ‘perceraian ekspres’ di Selangor yang dikatakan hanya mengambil masa selama enam jam didakwa antara punca negeri itu mencatat kes perceraian tertinggi di negara ini.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Jalaludin Alias (BN-Jelebu) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

"Saya melihat kewujudan kaunter perceraian segera di Selangor sebagai punca kadar cerai yang tinggi di negeri itu.

“Sesiapa yang minta cerai, bagi. Dalam tempoh enam jam boleh bercerai. Jika seorang isteri tak puas hati dengan suami, dia dibenarkan cerai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh apakah langkah kerajaan menangani kes perceraian yang meningkat di seluruh negara.

Sebelum itu, Yeoh memaklumkan Selangor mencatat kadar kes perceraian tertinggi di seluruh negara, diikuti Johor.

Bagaimanapun, Yeoh berkata Selangor mencatatkan kes perceraian tertinggi itu kerana negeri berkenaan berpenduduk ramai berbanding yang lain.

Katanya, pada tahun 2017, sebanyak 8,794 kes cerai bagi pasangan Islam dan 2,068 kes untuk bukan Islam di Selangor manakala 4,441 kes perceraian antara pasangan Islam dan 1,526 bagi bukan Islam di Johor.

Justeru, Yeoh berkata kementerian bercadang menawarkan 'ujian keserasian' untuk bakal pengantin baharu sebagai langkah mengurangkan kes perceraian dalam kalangan pasangan muda.

Katanya, statistik Kajian Penduduk dan Keluarga Kelima (KPKM-5) menunjukkan perceraian dalam kalangan pasangan muda di seluruh Malaysia berlaku dalam lima tahun pertama mendirikan rumah tangga dan alasan yang digunakan adalah kerana tiada persefahaman.

"Kita lihat orang terburu-buru untuk berkahwin tetapi mereka tidak mengenali diri sendiri dan tidak mengenali pasangan.

“Maka kita juga pertimbangkan sama ada hendak wujudkan 'compatibility test' untuk orang yang bujang sebelum mereka berkahwin supaya mereka boleh datang (buat ujian keserasian).

“Orang yang hendak kahwin, kalau mereka ingin tahu sama ada pasangan mereka sesuai atau tidak, mereka boleh buat 'compatibility test' dulu," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (PH-Beaufort).

Azizah bertanya sama ada tempoh kursus praperkahwinan yang berlangsung selama dua hari bagi pasangan bakal berkahwin perlu ditambah atau ditambah baik, bagi mengatasi punca perceraian itu.

Yeoh berkata kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan kandungan kursus program praperkahwinan itu melalui kaedah atas talian.

“Ini kerana, walaupun mereka hadiri kursus dua hari, tapi dalam dua hari itu, mereka hanya main telefon saja dan tidak mendengar nasihat,” katanya.

Selain itu, katanya, kementerian juga mengadakan sesi libat urus dengan beberapa agensi dan badan bukan kerajaan untuk kursus praperkahwinan bukan Islam dan Islam bagi mengenal pasti elemen atau topik yang perlu ditambah nilai.

Beliau juga berkata, perbincangan juga akan diadakan bersama Jabatan Pendaftaran Negara sama ada kursus praperkahwinan akan turut diwajibkan untuk pasangan bukan Islam.

Berita Harian X