Selasa, 9 Julai 2019 | 3:56pm
Pemergian Datuk Seri Dr James Dawos Mamit disifatkan kehilangan besar dalam arena politik Sarawak. - Arkib NSTP

Sarawak kehilangan tokoh alam sekitar

KUCHING: Pemergian Datuk Seri Dr James Dawos Mamit disifatkan kehilangan besar dalam arena politik Sarawak, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Dayak yang diwakilinya tetapi bagi rakyat Sarawak keseluruhannya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kemampuan mendiang bukan sahaja diperakui dalam bidangnya sebagai pakar alam sekitar, tetapi juga dalam pentadbiran sehingga dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam Kabinet Persekutuan.

“Sejak membabitkan diri dalam politik, mendiang juga membawa banyak perubahan di kawasan yang diwakilinya dan kemudian kemampuan beliau diiktiraf apabila dilantik dalam Kabinet sebagai Timbalan Menteri.

“Kita kehilangan seorang tokoh yang berwibawa dan pemergiannya satu kehilangan dalam arena politik Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas penutupan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah pula berkata, mendiang Dawos dikenali sebagai seorang pemimpin yang amat prihatin terhadap isu alam sekitar.

“Kepakaran Dawos dalam isu alam sekitar memang tidak boleh disangkal malah saya ketika menjadi Menteri Persekutuan (Sumber Asli dan Alam Sekitar) menjadikan mendiang sebagai buku rujukan berhubung isu berkaitan.

“Sarawak bukan sahaja kehilangan seorang lagi tokoh politik, tetapi juga seorang pakar alam sekitar yang cukup disegani,” katanya.

Mendiang Dawos, 70, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Stutong Indah, Tabuan Jaya, di sini, kira-kira jam 11.30 malam tadi, selepas menderita penyakit kanser hidung sejak 10 tahun lalu.

Dawos meninggalkan isteri, Datin Seri Christine Dawung Narub serta tiga anak lelaki dan tujuh cucu.

Kerjaya politiknya bermula selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Mambong sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1999 dan kemudiannya menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) seterusnya dan kekal sebagai Ahli Parlimen Mambong sebelum mengundur diri pada PRU Ke-14 atas masalah kesihatan.

Mendiang pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan iaitu sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Berita Harian X