Selasa, 9 Julai 2019 | 1:23pm
Formula pengambil alihan empat lebuh raya bukan dirangka Kementerian Kewangan, sebaliknya dirangka oleh pakar perunding bank tempatan yang terkemuka. - Arkib NSTP

Penjimatan tol RM2 bilion bagi baki tempoh konsesi 4 lebuh raya

KUALA LUMPUR: Pengambilalihan empat lebuh raya di Lembah Klang akan membolehkan pengguna menikmati penjimatan sebanyak RM2 bilion pembayaran tol sepanjang baki tempoh konsesi syarikat terbabit.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata tempoh tamat konsesi syarikat pengendali empat lebuh raya berkenaan adalah antara sembilan hingga 23 tahun lagi.

Katanya, menerusi pengambilalihan itu juga, pengguna selepas ini hanya perlu membayar caj kesesakan yang nilainya lebih rendah berbanding kadar tol ditetapkan ketika ini

"Ada pihak yang tanya mengapa kerajaan hendak mengambil alih lebuh raya yang tempoh konsesinya sudah hampir tamat.

"Jika kerajaan ambil alih, mereka (pengguna) hanya perlu bayar caj kesesakan yang nilainya lebih rendah berbanding kadar tol yang dibayar sekarang.

"Ini akan memberi manfaat kepada semua pihak. Kita juga hendak pastikan kerajaan mendapat penjimatan sebanyak RM5.3 bilion dan pengguna nikmati penjimatan dalam bentuk pengurangan bayaran bayaran tol sebanyak RM2 bilion untuk tempoh hayat konsesi tol sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Air Itam) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada 21 Jun lalu mengeluarkan surat tawaran untuk mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya.

Menurut pemfailan berasingan dengan Bursa Malaysia oleh Gamuda Bhd dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak Holdings), MOF Inc mengeluarkan surat tawaran kepada Kesas Holdings, Sprint Holdings, Litrak Holdings dan Smart Holdings.

Berdasarkan pemfailan itu, kerajaan menawarkan sehingga RM6.2 bilion untuk mengambil syarikat-syarikat berkenaan.

Empat lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong Smart.

Sementara itu, Guan Eng berkata, formula pengambil alihan empat lebuh raya terbabit bukan dirangka Kementerian Kewangan, sebaliknya dirangka oleh pakar perunding bank tempatan yang terkemuka.

Katanya, kementerian menerima formula terbabit selepas pakar perunding terbabit memberi jaminan yang kerajaan tidak perlu membiayai kos penerbitan bon yang tinggi bagi mengambil alih lebuh raya berkenaan.

"Model ini tidak membabitkan sebarang perbelanjaan kerajaan kerana kos pengambilalihan sebanyak RM6.22 bilion dibiayai menerusi bon terbitan dan kos operasi serta penyelenggaraan ditanggung menerusi kutipan caj kesesakan," katanya.

219 dibaca
Berita Harian X