Selasa, 9 Julai 2019 | 10:54am

TVET pemacu utama lahir tenaga mahir tempatan - PM

PUTRAJAYA: Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi pemacu utama dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan belia Malaysia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi warga kerja tempatan.

Beliau berkata, ini juga secara langsung akan mengubah pasaran buruh negara yang mana menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji yang tinggi dapat diwujudkan.

“Ini bersesuaian dengan usaha kita untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini. Dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan menerusi program TVET, kita bukan saja menyediakan belia untuk pasaran kerja, tetapi juga modal insan bagi pembangunan dan kemajuan negara.

“Lulusan program TVET yang membabitkan usaha sama antara institusi TVET awam dengan pelbagai syarikat multinasional berpandukan kepada kehendak dan keperluan industri terbukti berjaya yang mana hampir 90 peratus graduan TVET berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Persidangan TVET 2019 ‘Human Capital Development to Enhance Future Skills Agenda’ di sini, hari ini.

Persidangan itu disertai kira-kira 500 peserta daripada kalangan tenaga pengajar institusi latihan kemahiran awam dan swasta, pensyarah akademik dan industri.


Dr Mahathir menjawab soalan pada sesi dialog bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri sempena majlis penutup Persidangan TVET 2019 ‘Human Capital Development to Enhance Future Skills Agenda’ di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dr Mahathir berkata, dunia hari ini juga memperlihatkan kejayaan sesebuah negara bukan saja diukur dan didorong oleh prestasi ekonomi, pembangunan infrastruktur, syarikat multinasional dan teknologi semata-mata, tetapi pembangunan modal insan holistik disandarkan kepada pendidikan, latihan dan kemahiran menjadi sama penting di dalam ukuran kejayaan itu.

“Pembangunan modal insan menjadi nadi dan penggerak pembentukan masyarakat untuk maju, proaktif dan berinovatif seterusnya berkemampuan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan negara keseluruhannya.

“Ingin saya tekankan bahawa pembangunan modal insan amat kritikal bagi masa depan negara.

“Dengan memartabatkan TVET, kerajaan berkeyakinan negara mampu menghasilkan modal insan berkemahiran yang diperlukan oleh industri.

“TVET mempunyai peranan penting dalam membantu usaha kita untuk menjadi negara maju yang setaraf dengan negara maju lain dan tidak keterlaluan jika TVET kita anggap sebagai kunci kepada kemajuan negara pada masa akan datang.

“Disebabkan itu, kerajaan menekankan TVET kerana kita sedar permintaan dan keperluan industri kepada modal insan yang berkeupayaan untuk beriringan dengan peredaran teknologi yang begitu tinggi dan pantas,” katanya.

Katanya, era teknologi canggih masa kini menuntut perubahan yang cepat, pantas dan laju disebabkan itu kita tidak boleh ketinggalan jauh ke belakang serta perlu bergerak seiring dengan perkembangan dan kepesatan teknologi semasa.

“Pembangunan industri di Malaysia tidak boleh lari dari perkembangan global khususnya Revolusi Industri 4.0 yang mana proses kerja dan kaedah perniagaan lebih pintar dipacu oleh manusia, proses dan teknologi kepada tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai.

“Ini secara tidak langsung mengkehendaki sektor industri negara bergerak seiring dengan transformasi digital jika kita mahu ekonomi negara terus kekal berdaya saing,” katanya.

457 dibaca
Dr Mahathir berucap merasmikan majlis penutup Persidangan TVET 2019 ‘Human Capital Development to Enhance Future Skills Agenda’ di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X