Isnin, 8 Julai 2019 | 10:06pm
AINUL Mardhiah. - Foto IG Nurul Erwani

Ainul Mardhiah pulang hari ini

KUALA LUMPUR: Bayi 10 bulan yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di London, United Kingdom (UK), Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin akan pulang ke tanah air bersama kedua-dua ibu bapanya, esok atau lusa.

Hal itu dimaklumkan ibunya, Nurul Erwani Zaidi menerusi satu hantaran Insta Story di laman Instagram milik beliau.

Nurul Erwani, 24, memaklumkan hari ini hari terakhir mereka bertiga berada di London selepas lebih sebulan berada di kota berkenaan.

“Alhamdulillah. Sebulan lebih berada di kota London. Hari terakhir berada di London, terasa sangat sayu.

“Nurse (jururawat) semua jumpa Ainul dan beri ‘wish’ (ucapan) pada Ainul. Semoga kita berjumpa lagi semua.

“Insya-Allah kami pasti akan datang semula ke London,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, berkata beliau dan isteri sedang membuat persiapan untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air.

Katanya, Ainul Mardhiah mesti stabil dan kuat untuk menempuhi penerbangan jarak jauh dan lama dari London ke Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, keadaan Ainul semakin baik. Namun masih perlu dijaga rapi untuk memastikan Ainul sembuh dan kuat. Pengalaman yang lepas, Ainul mendapat ‘infection’ (jangkitan) setelah mengharungi perjalanan yang panjang selama tiga belas jam penerbangan, mudah-mudahan perjalanan pulang kali ini Allah swt melindungi Ainul dan kami semua.

“Insya-Allah, ada rezeki bila Ainul dah betul-betul bersedia nanti, Ainul boleh berjumpa dengan tuan puan semua. Buat masa sekarang, disebabkan Ainul ini terlalu ‘fragile’ (lemah), doktor minta supaya kurang mendedahkan Ainul supaya risiko mendapat ‘infection’ dapat dikurangkan,” katanya dalam entri terbaharu menerusi laman Facebooknya.

Mengulas lanjut,Ahmad Safiuddin berkata beliau memang berbesar hati dan gembira kerana Ainul dapat pulang ke tanah air.

“Malaysia adalah tempat Ainul! Terima kasih tuan puan semua kerana mendoakan Ainul dan seterusnya mendoakan kami semua. Kami berharap kepada Tuhan Yang Maha Esa semoga doa doa yang baik itu dikembalikan semula kepada tuan/puan dan juga keluarga. Amin!,” katanya.

1955 dibaca
Berita Harian X