Isnin, 8 Julai 2019 | 8:00pm
ZURAIDA Kamaruddin. - Foto Luqman Hakim Zubir

EKSKLUSIF: Kumpul kilang dalam satu lokasi

PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, semua kilang berkaitan bahan kitar semula dan yang berisiko menyebabkan pencemaran ditempatkan di satu lokasi sama bagi memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata sehubungan itu, di setiap negeri akan mempunyai sekurang-kurangnya dua zon perindustrian yang menempatkan kilang seumpama itu dengan jenis industri lain.

“Menjelang tahun 2020, saya mencadangkan satu pusat perindustrian setempat yang menempatkan semua kilang berkaitan kitar semula dan kilang seumpamanya di lokasi yang sama supaya mudah kita pantau dan ambil tindakan,” katanya kepada BH, di sini, semalam.

Beliau mengulas siri laporan eksklusif BH baru-baru ini yang mendedahkan sekurang-kurangnya 20 zon perindustrian diibarat menjadi ‘bom jangka’ yang menyebabkan penduduk terdedah kepada bahaya pencemaran, termasuk pelepasan gas beracun.

Mengikut peraturan JAS, terdapat tiga kategori pengkelasan industri iaitu industri ringan, sederhana dan berat.

Susulan itu, beberapa pakar berpendapat garis panduan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika ini bagi menentukan zon penampan yang selamat di antara zon perindustrian dan perumahan wajar dikaji semula bagi mengurangkan risiko apabila berlaku pencemaran.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Ir Dr Zulkifli Abdul Rashid, berkata pengkelasan zon penampan JAS tidak begitu releven pada masa ini apabila kurang memberi penekanan aspek keselamatan terutama apabila membabitkan industri berat yang mengeluarkan bahan bertoksik.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, menerusi pengasingan kilang itu, semua kilang kitar semula sedia akan dipindahkan ke lokasi baharu dan pihaknya kini dalam proses mengubah akta bagi membolehkan ia dilaksanakan.

“Kita juga sudah mula mengenal pasti kawasan seluas antara 40 hingga 80 hektar untuk dijadikan kawasan perindustrian setempat. Menerusi langkah ini, semua kilang lama akan dipindahkan ke sini,” katanya.

Berhubung penguatkuasaan terhadap kilang haram, Zuraida berkata, susulan kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor, pihaknya mahu tindakan tegas terhadap kilang haram di seluruh negara.

Katanya, pada masa sama langkah penguatkuasaan termasuk menyita kilang haram dan mengambil tindakan mahkamah akan dijalankan berbanding sebelum ini kebanyakan PBT hanya mengenakan kompaun RM300 bagi kilang yang beroperasi secara haram.

“Saya juga sudah minta Menteri Besar Johor menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani kilang haram di Pasir Gudang. Jawatankuasa ini menyeluruh dengan turut disertai PBT dan Pejabat Tanah dan Galian.

Beliau juga berkata, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang menjaga porfolio PBT diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap kilang haram bagi memastikan tidak mencemar alam sekitar.

“Saya selalu sebut bahawa negara kita ada undang-undang. Kalau kita ikut undang-undang (kuat kuasa), kita boleh jadi seperti Singapura dan Korea (yang mempunyai undang-undang ketat) tetapi penguatkuasaan kita lemah.

“Sehubungan itu kita mahu PBT kena tegas menguatkuasakan dan pemantauan. Jangan bila mereka (pengusaha kilang) merayu dan ahli politik masuk campur, habis.

“Kita sudah mempunyai perancangan yang cantik (bagus) tetapi ia jadi kerepot (bila penguatkuasaan lemah),” katanya.

Berita Harian X