Isnin, 8 Julai 2019 | 6:03pm
Mohamed Azmin ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Cantuman tanah FELDA dilakukan segera

KUALA LUMPUR: Rancangan kerajaan untuk mencantumkan tanah peneroka FELDA di seluruh negara menjadi ladang besar, akan dilaksanakan secepat mungkin.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata projek perintis bagi cadangan itu akan dilaksanakan segera sebaik sahaja kementerian memperoleh keluasan tanah antara 405 hektar hingga 809 hektar.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengarahkannya untuk mencari peneroka yang bersetuju dengan cadangan itu secepat mungkin.

“Kalau kita dapat antara 1,000 ekar atau 2,000 ekar, kita mulakan sebagai projek rintis. Apabila projek ini berjaya, peneroka yang lain boleh menyertai dan meneruskan inisiatif ini.

“Kita sedang berusaha keras berkomunikasi, mengadakan libat urus dan berbincang dengan peneroka menerusi Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP) untuk dapatkan persetujuan mereka.

“Yang penting kita mahu yakinkan mereka bahawa ini adalah langkah ke depan kerana mereka tidak akan dapat tingkatkan pendapatan jika tidak gunakan kaedah ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan merancang mencantumkan tanah peneroka FELDA di seluruh negara menjadi ladang besar yang diurus secara berkesan dan profesional oleh pengurusan estet terlatih bagi menjana peningkatan hasil kepada peneroka.

Bagi tujuan itu, kerajaan akan menyusun semula pentadbiran dan pengurusan ladang milik FELDA di seluruh negara untuk menghasilkan sumber pendapatan baharu, sekali gus tidak terlalu bergantung kepada hasil getah dan kelapa sawit

Bagaimanapun, Dr Mahathir memberi jaminan percantuman tanah itu akan dilakukan dengan persetujuan peneroka, selepas berbincang dengan peneroka untuk memberi kefahaman mengenai inisiatif itu bagi aktiviti pertanian baharu selain getah dan kelapa sawit.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, menerusi inisiatif itu, peneroka tidak perlu menyerahkan tanah kepada kerajaan, sebaliknya ia dicantumkan secara pengurusan bagi meningkatkan perolehan hasil.

“Sekarang ini, pemilikan ladang FELDA ini terlalu kecil, hanya 10 ekar (empat hektar) bagi setiap peneroka. Jumlah ini tiada ekonomi berskala.

“Sebab itu, kita cadangkan supaya tanah ini dicantumkan supaya skala ekonomi itu wujud, serta produktiviti ditingkatkan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

1642 dibaca
Berita Harian X