Ahad, 7 Julai 2019 | 12:30pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

Keputusan S&P Global Ratings cermin keyakinan pertumbuhan negara

PUTRAJAYA: Keputusan S&P Global Ratings (Standard and Poor’s) untuk mengiktiraf semula penarafan kredit kerajaan Malaysia pada taraf A- dengan jangkaan stabil menunjukkan keyakinannya terhadap unjuran pertumbuhan Malaysia yang pesat.

Ia turut membuktikan profil institusi negara baik, asas ekonomi kukuh serta pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan yang rapi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata penarafan semula itu turut menunjukkan bahawa kenaikan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskan penarafan kredit kerajaan, terutama apabila jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan dikurangkan.

“Kementerian Kewangan menyambut baik keputusan S&P Global Ratings pada 3 Julai lalu untuk mengiktiraf semula penarafan kredit kerajaan Malaysia pada taraf A- dengan jangkaan stabil.

“Antara faktor utama pengekalan penarafan kredit kerajaan pada A- adalah prospek ekonomi Malaysia yang sihat.

“Bank Dunia telah mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk tumbuh (berkembang) setinggi 4.6 peratus pada tahun ini, selain kadar inflasi yang rendah dan stabil pada 0.2 peratus untuk Mac, April dan Mei yang menggalakkan pertumbuhan perbelanjaan penggunaan swasta.

“Selain itu, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memotong Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus telah mengurangkan kos pinjaman bagi pengguna.

“Kesannya dapat dilihat antara lain daripada bilangan kenderaan dijual untuk tempoh Januari hingga Mei lalu meningkat sebanyak 13 peratus tahun ke tahun, berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, pada masa sama, lencongan perdagangan yang berpunca daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat, membolehkan pertumbuhan eksport Malaysia sekali lagi mengatasi unjuran pasaran.

“Bagi Mei lalu, eksport negara naik 2.5 peratus kepada RM84.1 bilion berbanding RM82.1 bilion tahun lalu, yang mana peningkatan itu mengatasi konsensus pasaran serendah 2.2 peratus seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

“Pertumbuhan eksport berterusan ini meningkatkan lebihan dagangan negara untuk lima bulan pertama tahun ini sebanyak 4.3 peratus kepada RM56.8 bilion daripada RM54.5 bilion tahun lalu.

“Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi suku pertama tahun ini meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion tahun lalu.

“Pertumbuhan suku pertama ini dipacu oleh kenaikan FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan sebanyak 127 peratus kepada RM20.2 bilion berbanding RM8.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihak S&P Global Ratings mengiktiraf usaha kerajaan untuk mengukuhkan semula keadaan kewangannya melalui pengurusan kewangan yang rapi, termasuk dalam menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan.

“Walaupun nisbah hutang langsung kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 51.2 peratus pada tahun lalu berbanding 50.1 peratus pada 2017, hutang langsung hanyalah sebahagian daripada keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan.

“Selain daripada hutang langsung, hutang dan liabiliti kerajaan mengambil kira komitmen jaminan kerajaan dan pajakan kewangan serta liabiliti lain seperti hutang 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang perlu dibiayai secara langsung oleh kerajaan sekarang.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan berjaya mengurangkan keseluruhan hutang dan liabilitinya berbanding KDNK sebanyak 3.9 mata peratusan daripada 79.3 peratus, berbanding KDNK pada 2017 kepada 75.4 peratus pada 2018,” katanya.

Katanya, Kementerian Kewangan yakin terhadap kemampuan kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 3.7 peratus berbanding KDNK pada tahun lalu kepada 3.4 peratus untuk tahun ini.

582 dibaca
Berita Harian X