Jumaat, 5 Julai 2019 | 12:20pm
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Arkib NSTP

ANGKASA sasar 2,400 koperasi sekolah jana pendapatan RM1 bilion

KOTA BHARU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mensasarkan 2,400 koperasi sekolah di seluruh negara mampu memperoleh pendapatan RM1 bilion menjelang 2025.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata setakat ini pendapatan tahunan kesemua koperasi sekolah berkenaan mencecah RM400 juta.

Pada masa sama, pihaknya turut mensasarkan 50 koperasi sekolah memperoleh pendapatan RM1 juta pada tahun depan berbanding sekarang tujuh koperasi mampu memperoleh pendapatan sebanyak itu.

“Untuk mencapai sasaran menjelang 2025, pihak koperasi sekolah perlu kreatif dan berani untuk terokai peluang perniagaan baharu yang mampu menjana pendapatan lumayan.

“Daripada 2,400 koperasi sekolah, 500 daripadanya terbabit dalam bidang peruncitan termasuk menjual makanan asas seperti gandum, gula dan minyak masak.

“Namun, kita mahu setiap koperasi sekolah menceburi bidang baru termasuk terbabit dalam tender kantin sekolah dan pusat asuhan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdul Fattah berkata, beliau yakin mampu mencapai sasaran perolehan pendapatan RM1 bilion sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

“Saya memuji kreativiti koperasi Kolej Vokasional Pasir Mas apabila memanfaatkan tanah terluang seluas 2.4 hektar dengan mengusahakan 600 pokok kelapa pandan dan matag.

“Usaha koperasi kolej berkenaan perlu diberi pujian kerana berani menerokai bidang pertanian yang dijangka mampu memperoleh pendapatan lumayan selepas kesemua kelapa berkenaan mengeluarkan hasil.

“Kita menjangkakan koperasi kolej berkenaan mampu memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM30 hingga RM50 sebulan pada tiga tahun akan datang hasil daripada kelapa berkenaan,” katanya.

Beliau turut meminta koperasi sekolah lain mencontohi kolej vokasional berkenaan yang mampu mendedahkan pelajar kepada bidang keusahawanan.

Berita Harian X