Khamis, 4 Julai 2019 | 10:57am
YEO Bee Yin

Operasi besar-besaran tutup kilang haram di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR: Operasi besar-besaran untuk mengesan dan menutup semua kilang haram di Pasir Gudang, Johor akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan ini.

Sehubungan itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk setempat untuk melaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung operasi kilang haram berkenaan.

Katanya, persekitaran Pasir Gudang sangat mencabar disebabkan pembangunan yang tidak lestari dan kerajaan akan terus membuat yang terbaik termasuk menerima cadangan konstruktif daripada Ahli Parlimen setempat.

“Kita akan memastikan kilang haram ditutup demi kepentingan rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-PKR Pasir Gudang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-UMNO Pengerang), Bee Yin berkata, sejak insiden berlaku di Pasir Gudang pada 20 Jun dan 4 Julai lalu, sehingga hari ini,

sebanyak 172 premis industri diperiksa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 98 kompaun dikeluarkan, 46 notis arahan, sembilan pemilik premis ditahan operasi dan dua syor tindakan mahkamah dikeluarkan.

Ketika ini, Pasir Gudang mempunyai 2,005 kilang berlesen dan 250 darinya adalah kilang berasaskan bahan kimia.

“Oleh itu, boleh dikatakan persekitaran udara di Pasir Gudang adalah tepu dan sebarang anomaly (keganjilan) akan memberi kesan kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma,” katanya.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata Kerajaan Persekutuan bersama dengan Kerajaan Johor juga merangka enam tindakan segera iaitu memperkasakan pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang dengan mewujudkan Stesen Pengawasan Gas Pencemar Toksik Automatik melalui pembangunan stesen pengawasan udara.

Seterusnya, pembelian alat pengukuran gas toksik bergerak seperti gas analyser (GASMET) untuk tujuan penguatkuasaan dan pemantauan; membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan keupayaan tampungan udara di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Beliau berkata, berikutan Pasir Gudang menjadi hab industri terpenting di Johor, JAS Cawangan Pasir Gudang juga akan diwujudkan bagi meningkatkan pengawal seliaan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

“Seterusnya, kementerian menerusi JAS akan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baharu kepada premis industri di kawasan Pasir Gudang yang antara lain menetapkan premis industri memasang alat pemantauan pelepasan secara berterusan.

“Kementerian juga akan mengadakan program sekolah angkat oleh industri terutama untuk sekolah berisiko tinggi yang dekat dengan kilang, di mana kemudahan seperti pengesan gas dan penapis udara dibekalkan oleh pihak industri kepada sekolah angkat,” katanya.

Berita Harian X