Rabu, 3 Julai 2019 | 8:01pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (kanan) bersama Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon pada sidang media, di Bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Bukti saintifik diperlukan untuk kesan sisa toksik bawah tanah

PASIR GUDANG: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melihat bukti saintifik, selain bacaan alat pengesan gas sebelum melihat kemungkinan sisa toksik bawah tanah menjadi punca pencemaran udara, di sini.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata bacaan kualiti udara yang tepat daripada alat pengesan gas juga perlu dilakukan bagi menyokong teori sisa kimia yang ditanam di sini menjadi punca pencemaran udara berulang.

“Kita sudah melakukan pemantauan untuk bacaan kualiti udara di 100 sekolah yang mengalami simptom pencemaran udara hari ini namun masih tidak menemui bukti saintifik yang mengaitkan kewujudan sebarang gas dan simptom yang menjejaskan murid dan pelajar.

“Esok seramai 111 pakar bersama alat pengesan gas akan melakukan bacaan kualiti udara secara serentak di 111 lokasi sekolah di Pasir Gudang bagi membuat cerapan lanjut.

“Jika wujud sebarang gas kimia, alat pengesan gas akan dapat mengesan bacaan yang tepat dan kita juga boleh membuat kesimpulan lanjut mengenai pencemaran udara kali ini, ” katanya pada sidang media di Menara Aqabah, Bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

BH semalam melaporkan Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud, dilaporkan berkata, tindakan menanam sisa toksik di dalam tanah juga boleh mengakibatkan pencemaran udara.

Beliau dilaporkan berkata, saliran air bawah tanah di daerah itu berkemungkinan sudah tepu dengan sisa toksik yang meruap sebelum meresap melalui tanah naik ke permukaan sehingga membentuk gas toksik.

Sementara itu, Bee Yin sekali lagi menafikan tuduhan yang mendakwa beliau dan kementeriannya lambat bertindak menangani isu pencemaran Pasir Gudang sejak 14 hari lalu, sebagai pembohongan yang sangat serius.

Katanya, fitnah berkenaan adalah penghinaan pada profesionalisme dan dedikasi ratusan pegawai dan kakitangan yang bertungkus-lumus menyiasat, membaca kualiti udara selain menggerakkan operasi menangani pencemaran udara sejak dua minggu lalu.

“Saya akan terima jika kritikan konstruktif diberikan namun pemfitnah tiada tempat dalam politik tanah air.

“Bagaimana saya mampu untuk mengawal semua data yang dikeluarkan pegawai termasuk operasi penguatkuasaan yang dijalankan ratusan pegawai pada zaman teknologi maklumat ini, apatah lagi tuduhan yang mendakwa kementerian lambat bertindak, adalah sesuatu yang tidak logik.

“Saya sudah bertemu barisan peguam dan meminta mengenal pasti pemfitnah sebelum menyaman mereka, katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, berkata pihaknya akan meneruskan operasi pemeriksaan terhadap baki kilang kimia termasuk milik IOI Properties Group Bhd.

“Operasi akan diteruskan mengikut jadual dan dijangkakan selesai dalam masa seminggu lagi” katanya.

414 dibaca
Berita Harian X