Rabu, 3 Julai 2019 | 12:29am
PASIR GUDANG 26 JUN 2019. GAMBAR fail, anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pemeriksaan bacaan kualiti air di hulu sungai Kim Kim, di Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Sisa toksik bawah tanah punca pencemaran di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR: Kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor, dipercayai berpunca pembuangan sisa toksik yang ditanam di dalam tanah.

Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud, berkata, tindakan menanam sisa toksik di dalam tanah juga boleh mengakibatkan pencemaran udara.

Katanya, saliran air bawah tanah di daerah itu berkemungkinan sudah tepu dengan sisa toksik yang meruap sebelum meresap melalui tanah naik ke permukaan sehingga membentuk gas toksik.

“Pelupusan bahan kimia di Sungai Kim Kim bukanlah satu-satunya sumber gas beracun kerana ia masih berada di sana selepas kawasan berkenaan dibersihkan.

“Justeru, saya mengesyaki terdapat sisa kimia yang ditanam di dalam tanah sekitar Pasir Gudang sejak bertahun-tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Wan Ramli yang juga bekas Perunding Penilaian Risiko Kuantitatif (QRA) untuk Industri Minyak, Gas dan Petrokimia berkata, kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu mengeluarkan arahan menghentikan sementara operasi semua kilang dan loji kimia.

“Ini adalah satu-satunya cara untuk menghentikan kejadian keracunan gas di Pasir Gudang daripada terus berulang.

“JAS dan JKKP perlu memeriksa rekod pembuangan bahan kimia di setiap kilang untuk menentukan dalang yang bertanggungjawab terhadap insiden terbabit,” katanya.

Beliau dalam kenyataan itu turut mendedahkan pernah menjalankan kajian sebagai perunding QRA kepada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk cadangan pembinaan loji kimia di Pasir Gudang pada sekitar 1980-an.

“Pasir Gudang pada asalnya adalah untuk industri kecil dan sederhana, namun kerana kurang mendapat sambutan mendorong kerajaan negeri menawarkan tanah kepada industri berat seperti cadangan pembinaan loji kimia.

“Loji kimia itu tetap dibina walaupun hasil kajian QRA menunjukkan sebarang kemalangan yang menyebabkan penyebaran toksik dan gas mudah terbakar akan memberi kesan kepada penduduk berhampiran,” katanya.

4799 dibaca
Berita Harian X