Selasa, 2 Julai 2019 | 4:20pm
TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah. - Foto Rozainah Zakaria

Kerajaan sedia kaji luaskan zon penampan antara kilang, rumah

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji saranan pakar yang mencadangkan luas zon penampan yang selamat antara zon perindustrian dan perumahan, ditetapkan kepada antara satu hingga dua kilometer (km), berbanding 50 hingga 500 meter (m) ketika ini.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap negeri dicadangkan mewujudkan pasukan pemantau bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), untuk memantau kawasan perindustrian berisiko seperti Pasir Gudang, secara berkala.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata kajian semula luas zon penampan sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

“Kalau kawasan perindustrian membabitkan kilang kimia atau industri berat, saya rasa jarak itu perlu dikaji semula supaya ia lebih munasabah.

“Sepatutnya sudah lama kita kaji perkara ini kerana kawasan industri semakin banyak berkembang di kawasan perumahan, dan inilah (pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor) bahaya dan masalah yang kita hadapi.

“Jarak zon penampan sedia ada tidak cukup untuk memisahkan antara kawasan perumahan, sekolah dan hospital dengan industri yang boleh menyebabkan pencemaran alam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

BH hari ini melaporkan beberapa pakar mencadangkan supaya garis panduan ditetapkan JAS bagi menentukan zon penampan yang selamat di antara zon perindustrian dan perumahan, wajar dikaji semula bagi mengurangkan risiko apabila berlaku pencemaran.

Mengikut peraturan JAS, jarak selamat di antara satu kawasan penempatan dengan kawasan industri atau zon penampan adalah 50m bagi industri ringan dengan jaluran tanaman selebar 10m; 250m bagi industri sederhana dengan jaluran tanaman 20m dan 500m bagi industri berat dengan jaluran tanaman 30m.

PBT dan JAS juga disarankan untuk menilai semula lokasi kilang industri berat yang berisiko tinggi dengan zon penampan dan kawasan penempatan.

Laporan eksklusif BH itu mendedahkan sekurang-kurangnya 20 zon perindustrian diibarat menjadi `bom jangka’ yang mendedahkan penduduk kepada pencemaran, termasuk pelepasan gas beracun.

Mengulas kerjasama PBT dan JAS, Raja Kamarul Bahrin Shah mencadangkan ia wajar dimulakan di Pasir Gudang, dan ia dijadikan sebagai kes kajian sebelum disusuli oleh PBT lain seluruh negara.

“Jika kita tahu sesuatu kawasan itu bermasalah atau berpotensi bermasalah, memang wajar untuk JAS dan PBT mengadakan mesyuarat lebih kerap supaya dapat koordinasi tindakan masing-masing.

“Jika ada pemantauan jangka masa panjang, pencegahan itu lebih mudah berbanding proses pemulihan apabila sesuatu insiden berlaku.

“Pasir Gudang boleh dijadikan lokasi percubaan (pemantauan bersama PBT dan JAS) sebagai iktibar selepas kejadian pencemaran udara ketika ini,” katanya.

Ditanya kelemahan penguatkuasaan oleh PBT sebagai punca berlakunya pencemaran itu, beliau berkata, PBT tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka tidak memiliki kelengkapan dan kepakaran khusus untuk mengesan pencemaran.

“Ada pencemaran dapat dikesan dengan cepat seperti yang membabitkan bau, tapi ada yang hanya disedari dalam jangka panjang seperti pencemaran membabitkan gas.

“PBT tak boleh kesan ini semua dan bila sesuatu insiden berlaku, baru PBT dipanggil. Nak salahkan PBT sepenuhnya pun tak boleh juga kerana mereka tiada alat pengesan khusus,” katanya.

158 dibaca
Berita Harian X