Isnin, 1 Julai 2019 | 2:57pm
KETUA Pembangkang, Datuk Hasni Mohammad. NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Speaker DUN Johor tolak usul tergempar pembangkang isu hina raja

ISKANDAR PUTERI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat, hari ini menolak usul tergempar bagi membahaskan isu soalan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong di Dewan Rakyat yang dianggap menghina institusi diraja.

Usul dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Hasni Mohammad itu ditolak Suhaizan dengan alasan ia tidak perlu disegerakan.

“Saya berpandangan ia penting tapi tidak perlu disegerakan. Ia nanti boleh dijawab oleh Menteri Besar atau EXCO ketika penggulungan,” katanya pada persidangan kedua DUN Johor, hari ini.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut, pada sidang media di lobi DUN di Bangunan Sultan Ismail di sini, berkata beliau membawa usul tergempar itu untuk mendesak DUN dan kerajaan negeri menyatakan pendirian terhadap soalan lisan diajukan Hok Liong di Parlimen hari ini.

“Soalan itu berkenaan nombor pendaftaran ‘TMJ’ dan ‘RZ’, iaitu sama ada didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pendaftaran kenderaan yang sah oleh mana-mana pihak dan jika tidak, sama ada kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran itu dibenarkan di atas jalan raya,” katanya.

511 dibaca
Berita Harian X