Ahad, 30 Jun 2019 | 6:11pm
Dr A Xavier Jayakumar (tengah) bergambar bersama kaum Orang Asli yang membuat persembahan di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Kuala Langat di Jalan Gangsa, Taman Perindustrian, hari ini. - NSTP/Ruwaida Md Zain

Tidak benar bina bangunan dekat sungai - Dr Xavier

BANTING: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli tidak membenarkan pembinaan apa-apa bangunan di kawasan rizab sungai di negara ini.

Pada masa sama, Menterinya, Dr A Xavier Jayakumar, berkata mana-mana pihak juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membuat perancangan membina bangunan di kawasan rizab sungai demi kebaikan semua pihak.

“Kementerian jarang meluluskan pembinaan di tepi sungai kerana kawasan itu adalah rizab sungai. Kita tidak boleh bagi apa-apa kelulusan pembangunan di rizab sungai di mana-mana kawasan.

“Jika ada nak buat pembangunan, ia pada jarak lebih 50 meter dari sungai dan bukan dalam jarak 50 meter itu. Perlu ada jarak 50 meter di kiri dan kanan sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Kuala Langat di Jalan Gangsa, Taman Perindustrian di sini, hari ini.

Beliau demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan undang-undang mewajibkan sebarang pembangunan dibuat dengan memberi keutamaan kepada aliran sungai.

Sebelum ini, Dr Xavier pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada lagi kediaman atau premis dibenarkan dibina di tepi sungai untuk mengelak pencemaran selain tragedi binaan dihanyutkan air deras selepas hujan.

Beliau mengulas laporan sebuah media yang mendakwa tiada tindakan diambil bagi menyelamat dan memulihkan sungai tercemar.

Laporan yang memetik kenyataan Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr Zaki Zainuddin, berkata ketiadaan usaha menyelamat dan memulihkan lebih 20 sungai yang mengalami pencemaran Kelas Tiga sejak 2017, bakal mengulangi tragedi Sungai Kim Kim, Johor, pada bila-bila masa, seterusnya mengganggu sumber air negara.

Berita Harian X