Sabtu, 29 Jun 2019 | 10:35pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke majlis perjumpaan bekas pelajar Sekolah St Thomas Tahun 1969 di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Agong, Permaisuri Agong berangkat ke majlis perjumpaan bekas pelajar sekolah St Thomas

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berangkat ke majlis perjumpaan bekas pelajar Sekolah St Thomas Tahun 1969 di Istana Negara di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis hi-tea itu dihadiri kira-kira 70 tetamu termasuk bekas rakan sekelas Al-Sultan Abdullah dan isteri masing-masing serta bekas guru kelas baginda.

Dalam titah ucapan alu-aluan, Al-Sultan Abdullah bertitah walaupun baginda kini adalah Yang di-Pertuan Agong, baginda masih mengingati rakan-rakannya dan sentiasa terkenang detik-detik indah bersama mereka ketika menuntut di sekolah rendah dan menengah St Thomas.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat cenderahati berupa gambar baginda ketika bersekolah. - Foto BERNAMA

“Anda mungkin melihat saya di kaca televisyen atau di mana-mana tempat lain sebagai Yang di-Pertuan Agong, tetapi saya sentiasa mengingati anda. Mana boleh saya lupa, saya sentiasa menghargai detik-detik itu. Kita mungkin tidak mempunyai sahabat sejati tetapi sudah cukup baik, setiap orang menghargai persahabatan ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru saya atas pendidikan dan bimbingan yang diberikan kepada saya,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa walaupun mengalas tanggungjawab baharu, baginda masih orang yang sama dan tidak pernah melupakan nasib rakyat, terutama golongan yang memerlukan dan akan sedaya upaya cuba untuk membantu mereka. - BERNAMA

Berita Harian X