Sabtu, 29 Jun 2019 | 8:22pm
Mohd Khuzzan (kanan) bersama EXCO Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon (kiri) pada sidang media susulan pencemaran bau di kawasan Pasir Gudang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Johor minta segerakan bina stesen pencerapan gas automatik

PASIR GUDANG: Johor meminta Kerajaan Pusat untuk menyegerakan pembinaan stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia dengan lebih cekap.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata kerajaan Johor berharap pembinaan stesen itu diberi keutamaan segera sebagai langkah proaktif pengesanan awal kualiti udara dan kehadiran gas berbahaya yang terhasil bukan sahaja dari kilang di Pasir Gudang malah dari luar kawasan itu.

“Kerajaan negeri berterima kasih dan harap kementerian dapat segerakan pemasangan alat pengesan gas serta alat pengukur kualiti udara yang boleh membuat bacaan tepat dalam radius lebih luas di Pasir Gudang malah merentasi sempadan negara,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin minggu lalu bahawa kementerian akan membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia.

Mohd Khuzzan berkata, hingga kini ada kira-kira 800 kilang beroperasi di Pasir Gudang yang menyediakan lebih 100,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan luar.

“Bagaimanapun, penempatan pelbagai kilang di kawasan ini tidak berlaku dalam tempoh singkat dan syarat pembangunan pada ketika itu amat berbeza dengan garis panduan yang ditetapkan pada masa ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua institusi pengajian termasuk 111 sekolah rendah dan menengah di kawasan ini yang ditutup akibat pencemaran udara sejak Selasa lalu, dibuka semula esok.

Mohd Khuzzan bagaimanapun berkata, semua agensi termasuk bomba dan pasukan perubatan diarahkan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kecemasan.

“Kita juga menghantar pasukan petugas khas ke semua sekolah yang pernah terjejas akibat pencemaran udara pagi esok (pagi ini) bagi memberi taklimat keselamatan serta pencegahan pada sesi perhimpunan.

“Sesi perhimpunan sekolah pagi esok (pagi ini) akan berjalan seperti biasa kerana berdasarkan kes sebelum ini, kejadian murid sesak nafas dan muntah biasanya berlaku ketika mereka berada di tingkat tiga atau empat, bukan ketika perhimpunan.

“Pemantauan kualiti udara oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta bomba juga mendapati kualiti udara berada pada tahap normal,” katanya.

Selepas lebih tiga bulan tragedi pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di sini yang menjejaskan kira-kira 6,000 orang, penduduk dikejutkan lagi dengan kejadian hampir serupa pada 20 Jun lalu apabila ramai pelajar beberapa sekolah di kawasan ini mengalami simptom sesak nafas dan muntah.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan mengumumkan sebanyak 111 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah (SM) kerajaan, tiga Institusi Pengajian Tinggi (IPT), 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta di Pasir Gudang yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Johor ditutup mulai Selasa hingga Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Khuzzan berkata, tiada pesakit baharu direkodkan semalam dengan hanya seorang murid masih dirawat di hospital kerana mengalami serangan asma dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mengenai tindakan penguatkuasaan, beliau berkata, JAS sudah memeriksa 72 premis perindustrian di kawasan itu mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dengan 40 dikompaun kerana kesalahan berkaitan bahan buangan berjadual serta efluen perindustrian (tiga), selain tiga premis dikenakan perintah tahan operasi.

Berita Harian X