Jumaat, 28 Jun 2019 | 7:59pm
MOHD Khuzzan Abu Bakar.

Pencemaran udara: Hanya seorang pesakit masih dirawat

JOHOR BAHRU: Hanya seorang sahaja pesakit iaitu pelajar perempuan berusia 17 tahun yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, di sini sehingga jam 12 tengah hari tadi susulan insiden pencemaran udara yang berlaku minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata pada masa sama, tiada pesakit baharu dimasukkan ke wad, manakala tiga pesakit terdahulu sudah dikeluarkan dari wad.

Katanya, sehingga kini, bacaan tahap kualiti udara di kawasan Pasir Gudang berada pada tahap yang baik, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan sekatan jalan raya 24 jam di lokasi yang dikenalpasti sebagai akses utama keluar serta masuk ke kawasan Pasir Gudang.

“Hari ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) menerusi pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) masih memantau tahap kualiti udara menggunakan gas analyser (GASMET) dalam radius pengesanan sejauh tujuh kilometer membabitkan 20 sekolah.

“Hasil dari gerakan operasi penguatkuasaan yang diselaraskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa premis sudah dipantau dan diarahkan untuk membuat pelupusan sisa dengan segera.

“Sila hubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pusat Gerakan Operasi Negeri JBPM Negeri Johor di talian 07-3310860 atau Pusat Kawalan Operasi Bencana 07-2511 024 untuk pertanyaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata gas Methyl Mercaptan dikesan ketika pemantauan bacaan gas dijalankan dan ia adalah satu anomaly (keganjilan).

Dua gas lain yang turut dikesan termasuk Acrylonitrile dan Acrolein namun ketiga-tiga gas yang disebutkan itu bagaimanapun tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing pesakit.

Berita Harian X