Jumaat, 28 Jun 2019 | 12:20pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin ketika sidang media bersama berhubung perkembangan terkini pelajar sekolah Pasir Gudang sesak nafas di Kementerian kesihatan Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pelajar alami simptom keresahan

PUTRAJAYA: Enam kanak-kanak dan remaja yang dirawat kerana sesak nafas di Pasir Gudang, Johor dikesan mengalami simptom keresahan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata mereka antara 10 kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dari lapan sekolah berbeza.

Beliau berkata, simptom keresahan itu didapati susulan saringan mental dijalankan dengan menggunakan soalan ‘Depression Anxiety Stress Scales’ (DASS) terhadap semua 10 pesakit terbabit.

“Didapati tiga daripada mereka pelajar yang terbabit dalam insiden Sungai Kim Kim (beberapa bulan lalu) dan dalam enam individu itu, seorang mempunyai komorbid, iaitu ‘bronchial asthma’.

“Semua enam pelajar ini akan diberikan susulan dan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak bagi mengetahui punca sebenar gejala terbabit,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, berdasarkan sejarah pendedahan, manifestasi gejala serta penilaian psikososial dan taburan sekolah yang terbabit tiada kejadian ‘mass psychogenic hysteria’ yang dilaporkan.

“Sebagai tindakan pencegahan awal, aktiviti intervensi psikologi bersama pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan kaunselor di lima sekolah akan dilaksanakan pada Ahad ini,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhannya 235 individu terdiri enam anggota kesihatan dan 229 orang awam menerima khidmat bantuan awal psikososial (PFA).

Katanya, seramai 222 orang menjalani sesi PFA individu dan 13 lagi menjalani sesi PFA kelompok.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Klinik Kesihatan Pasir Gudang dibuka bagi menerima dan merawat mangsa lain yang mungkin terkesan susulan kejadian ini,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya merekodkan 748 kes terkumpul kejadian sesak nafas di Pasir Gudang setakat ini, iaitu 709 orang menerima rawatan pesakit luar dan 39 dimasukkan ke wad.

“Empat kes baharu dilaporkan dan semuanya dirawat di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

“Tiada kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan. Buat masa ini, keputusan sampel klinikal pesakit bagi ujian kimia seperti hydrogen cyanide, cyanide, hydrogen thiocyanide dan volatile organic substances adalah negatif,” katanya.

Berita Harian X