Jumaat, 28 Jun 2019 | 11:37am
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin ketika sidang media bersama berhubung perkembangan terkini pelajar sekolah Pasir Gudang sesak nafas di Kementerian kesihatan Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pencemaran Pasir Gudang: Ada penemuan gas luar kelaziman

PUTRAJAYA: Tiga jenis gas dikesan dalam insiden pencemaran udara di Pasir Gudang termasuk gas metil merkaptan, yang kehadirannya satu anomali atau di luar kelaziman.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata dua lagi gas yang turut dikesan adalah akrilonitril dan akrolein.

Beliau berkata akibat persekitaran udara yang tepu di Pasir Gudang, sebarang anomali seperti itu akan memberi kesan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga gas itu tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing pesakit,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, ketika ini Pasir Gudang mempunyai 2,005 kilang berlesen dan 250 daripadanya berasaskan bahan kimia.

Beliau berkata, kementerian mengambil langkah segera untuk melupuskan faktor penyumbang kepada kehadiran semua gas berkenaan, selain meneruskan usaha penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kilang-kilang berasaskan bahan kimia di sekitar Pasir Gudang.

Secara amnya, katanya, pembangunan Pasir Gudang yang tidak lestari memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap alam sekitar.

“Kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di Pasir Gudang menjadi penyumbang utama kepada impak ‘loading capacity’ persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.

“Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan afluen yang tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran, sekali gus menyebabkan persekitaran tidak stabil dan amat sensitif.

“Pembangunan Pasir Gudang yang tidak lestari juga menyebabkan ketiadaan zon penampan (buffer zone) antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat, sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana kimia,” katanya.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, ketiadaan zon penampan menyebabkan terdapat sekolah yang kedudukannya amat dekat dengan kilang terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata, MESTECC memandang serius isu kelestarian di Pasir Gudang dan mengambil beberapa langkah segera.

“Antaranya mengadakan analisis loading capacity dan zon penampan bagi mengurangkan risiko bencana bahan kimia.

“MESSTEC juga mewujudkan sistem untuk menentukan kadar muatan ketepuan udara di Pasir Gudang dengan menggunakan kaedah Penyebaran Udara seperti diamalkan di negara maju,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia yang lebih cekap dan pantas.

“Ini dapat membantu pihak berkuasa bertindak lebih proaktif. Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat pertama mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran secara automatik di negara ini.

“Reka bentuk struktur dan sistem stesen pemantauan ini akan ditentukan berdasarkan kajian yang akan dijalankan,” katanya sambil menambah semua cadangan itu dapat dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

Ditanya sama ada kementeriannya akan mencadangkan supaya kilang berasaskan bahan kimia itu dipindahkan ke lokasi lain, Bee Yin berkata, ia lebih baik diumumkan oleh kerajaan negeri.

Berita Harian X