Khamis, 27 Jun 2019 | 1:37pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersalaman dengan wakil kerajaan dan agensi pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kerugian daripada 1MDB, rasuah jejaskan keupayaan kerajaan untuk berbelanja - Guan Eng

PUTRAJAYA: Keupayaan kerajaan untuk berbelanja lebih bagi program kebajikan rakyat terjejas oleh kekangan kewangan berpunca kerugian dialami 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kes berkaitan rasuah yang lain, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Kerajaan mahu berbelanja lebih tetapi akhirnya isu yang diwarisi seperti 1MDB adalah sesuatu yang kami perlu uruskan.

“Tiada negara yang kerugian RM150 bilion tanpa terjejas olehnya,” katanya pada mesyuarat Konsultasi Bajet 2020 di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan berharap untuk mencapai pertumbuhan lima peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini dan ia akan mengambil masa tiga tahun untuk Malaysia kembali di landasan selepas mengalami kerugian akibat hutang 1MDB.

Berhubung penyatuan fiskal yang sedang dilaksanakan kerajaan, beliau berkata Malaysia sepatutnya dapat mengurangkan defisit fiskal pada paras bawah tiga peratus daripada KDNK pada 2021.

Beliau berkata, langkah penyatuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan membolehkan ia mengurangkan defisit fiskal secara beransur-ansur daripada 3.7 peratus KDNK pada 2018 kepada 3.4 peratus tahun ini, sebelum merendahkannya lagi kepada tiga peratus pada 2020.

“Penyatuan ini perlu untuk memelihara penarafan kredit tinggi pada A3/A-. Namun, Malaysia memberi tumpuan pada pertumbuhan ekonomi premium dan penyatuan itu dilaksanakan tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan tidak akan bankrap meskipun menanggung banyak hutang dan mampu membayar penjawat awam serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan bagi memastikan pertumbuhan tahunan yang mampan.

Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai pembaharuan seperti memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan untuk meningkatkan lagi kredibiliti dan akauntabiliti kewangan awam.

Selain itu katanya, kerajaan turut menubuhkan Pejabat Pengurusan Hutang untuk secara proaktif menguruskan semua hutang dan liabiliti kerajaan serta menjalankan penilaian komprehensif dan pelaporan pendedahan terhadap risiko.

“Kerajaan akan melaksanakan penukaran perakaunan berasaskan berakru kepada perakaunan berasaskan tunai pada 2021 untuk memastikan pendedahan hutang dan liabiliti serta nilai aset secara lebih telus,” katanya. - BERNAMA

244 dibaca
Berita Harian X