Rabu, 26 Jun 2019 | 2:56pm
Dr LEE Boon Chye

80 peratus hospital miliki pasukan khas penjagaan luka

AYER KEROH: Kira-kira 80 peratus atau 116 daripada 145 hospital sudah dilengkapi kemudahan pasukan khas penjagaan luka dalam usaha meningkatkan lagi mutu penjagaan kesihatan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata jumlah itu termasuk 48 hospital pakar milik Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, kementerian turut meletakkan sasaran baki 20 peratus hospital kerajaan di seluruh negara dilengkapi pasukan khas berkenaan menjelang tahun 2023.

“Buat masa ini, baki 20 peratus hospital kerajaan masih tidak dapat menubuhkan pasukan khas rawatan luka ini disebabkan ketiadaan doktor pakar di sesetengah pusat rawatan.

“Kementerian sedang berusaha untuk mencapai sepenuhnya sasaran ini bagi memastikan semua hospital kerajaan dilengkapi pasukan khas yang lebih khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Luka Kebangsaan Ke-5 di Hotel Mudzaffar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan, Datuk Dr Bahari Awang Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, Normala Basiron dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rushidi Ramly.

Mengulas lanjut, Dr Boon Chye berkata, kesedaran mengenai penjagaan luka perlu disebar secara meluas bagi memberi pemahaman rawatan terbaik tanpa mengakibatkan komplikasi yang lebih serius.

“Ini penting kerana pasukan khas ini sendiri terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang tertentu seperti bidang pembedahan plastik, ortopedik, perubatan dan rehab, sekali gus dapat memberi rawatan penjagaan luka secara intensif bagi kes tertentu seperti penghidap kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Boon Chye berkata, sehingga semalam seramai 11 mangsa masih dirawat di hospital daripada keseluruhan 675 mangsa yang mendapat rawatan susulan kejadian gejala sesak nafas di Pasir Gudang, Johor, minggu lalu.

“Setakat ini tiada keperluan untuk mengkaji prosedur operasi standard (SOP) baharu walaupun kita akui berlaku pencemaran di kawasan berkenaan. Tiada kes serius setakat ini,” katanya.

Khamis lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa beracun yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Berita Harian X