Rabu, 26 Jun 2019 | 1:24pm
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

Ambil langkah proaktif kesan sumber pencemaran toksik - NIOSH

KUALA LUMPUR: Semua agensi berkaitan perlu mengambil langkah proaktif bagi mengesan sumber pencemaran toksik dalam insiden terbaru yang menyebabkan semua institusi pendidikan di Pasir Gudang, Johor, terpaksa ditutup sementara.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian kedua selepas Mac lalu itu harus dijadikan iktibar untuk memastikan keselamatan orang awam terjamin.

“Rakyat mahu melihat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan mengambil langkah proaktif supaya komuniti di Pasir Gudang seperti sekolah serta kawasan perumahan selamat, manakala industri di sekitarnya tidak berterusan menjadi ancaman.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah langkah proaktif dan bukan reaktif bagi mencegah berlakunya insiden lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab mencemar alam sekitar dan mengancam kesihatan awam.

Malah, beliau berkata, NIOSH sedia membantu agensi berkaitan berhubung perkara itu sama seperti kali pertama insiden pencemaran toksik berlaku pada Mac lalu.

“Sama seperti insiden pertama, NIOSH menerusi NIOSH Wilayah Selatan sedia memberi bantuan dan sokongan ibu pejabat NIOSH yang ada kemudahan serta kepakaran dalam pemantauan pencemaran kimia.

“Selain menghantar pasukan ke Pasir Gudang, NIOSH mengedarkan topeng percuma ketika insiden pertama berlaku pada Mac lalu serta bersama-sama menganjurkan sesi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Respons Tumpahan dan Kebocoran Kimia dengan kerjasama Akademi Penjagaan Keselamatan dan Kecemasan (ASEC) di Pasir Gudang pada bulan lalu,” katanya.

Insiden terbaru pencemaran udara di Pasir Gudang bermula Khamis lalu apabila 14 pelajar dan dua orang dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), serta 13 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Selepas puluhan lagi pelajar di beberapa sekolah mengalami sesak nafas, loya dan muntah, Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan, mengarahkan semua institusi pendidikan di kawasan Pasir Gudang ditutup mulai semalam hingga esok, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Berita Harian X