Selasa, 25 Jun 2019 | 6:44pm

30 premis diperiksa, satu diarah lupus sisa toksik

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah memeriksa 30 premis berisiko tinggi di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan sebuah premis memproses sisa toksik diarah membuat pelupusan serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata walaupun sisa terbabit belum dapat disahkan mempunyai kaitan dengan pencemaran udara yang berlaku sejak Khamis lalu, pihaknya berbuat demikian sebagai langkah berjaga-jaga.

“Proses pelupusan itu bermula hari ini dengan penghantaran sisa berkenaan (ke pusat pelupusan Kualiti Alam) secara berperingkat, dijangka selesai esok.

“Kita sudah mengambil sampel sisa toksik berkenaan untuk siasatan lanjut mengenai kaitannya dengan pencemaran udara kali ini. Sisa itu bagaimanapun tiada kaitan dengan sisa daripada Sungai Kim Kim Mac lalu,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai sisa toksik terbabit.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Beliau berkata tiada kes baharu mangsa pencemaran udara di Pasir Gudang hari ini berikutan langkah kerajaan mengarahkan semua institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika ditutup.

Katanya jumlah mangsa yang dirawat di hospital kekal seramai sembilan orang dan semua mereka berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, beliau berkata polis mengadakan dua sekatan jalan raya sejak Jumaat lalu bagi menghalang kemungkinan pihak industri mengeluarkan sisa kimia dari Pasir Gudang secara haram.

“Kita tidak mahu pihak kilang cuba mengeluarkan sisa kimia bagi mengelakkan diperiksa oleh JAS.

Bagaimanapun buat masa ini, kita tidak mengesan sebarang kegiatan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, JAS akan mengadakan operasi bersepadu bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan 250 premis yang mengendalikan bahan berbahaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Tindakan tegas penahanan operasi akan dikenakan jika ada pihak industri melanggar SOP,” katanya.

ANGGOTA Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di sekitar Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X