Selasa, 25 Jun 2019 | 1:12pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Pencemaran Pasir Gudang: Tindakan keras menanti - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan ‘memburu’ dalang di sebalik insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor dan mengenakan tindakan undang-undang keras terhadap mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika mengutarakan pendirian tegas itu, berkata insiden pencemaran di daerah dekat timur Johor itu amat mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku, memandangkan kejadian sama membabitkan bahan toksik pernah melanda kawasan sama di Sungai Kim Kim.

“Ini amat dukacita, sepatutnya selepas insiden yang dulu, ia tidak berlaku lagi, tapi kita nampak bahawa ada industri yang tidak begitu prihatin terhadap keselamatan, sebab itu kita perlu kenal pasti siapa yang mencemarkan persekitaran di situ.

“Kita akan ambil tindakan yang keras terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Malaysia Baharu Dalam Perubahan Pemerintahan Serantau, sempena Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-33, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) , Azman Adnan, hari ini dilaporkan berkata semua institusi pendidikan di kawasan Pasir Gudang ditutup bermula esok sehingga Khamis ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau turut mengarahkan semua pengetua dan guru besar supaya memaklumkan berita penutupan itu dengan segera kepada murid, guru, ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan mereka, selain mengambil tindakan susulan sewajarnya.

Berita Harian X