Selasa, 25 Jun 2019 | 9:46am
Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

FELDA sahkan Megat Zaharuddin letak jawatan

illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengesahkan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor meletak jawatan sebagai pengerusinya berkuat kuasa semalam.

Megat Zaharuddin dilantik sebagai Pengerusi pada 26 Julai 2018 dan berkhidmat hampir setahun di FELDA.

“Perjalanan hidup kita mengandungi stops and starts (perhentian dan permulaan). Saya memikir apakah lagi rancangan Allah pada diri saya,” kata Megat Zaharuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FELDA hari ini.

Kenyataan itu menyebut, Megat Zaharuddin berusaha keras memahami rapat isu FELDA terutamanya mengenai warga peneroka.

“Daripada lawatan ke beberapa rancangan di seluruh negara, ramai berkata beliau dekat dengan peneroka dan adalah seorang pemimpin yang sentiasa mementingkan kebajikan sosioekonomi warga peneroka.

“Di bawah pentadbiran beliau, beberapa inisiatif pelan transformasi diperkenalkan dan diketengahkan untuk meneraju FELDA semula ke tahap kelestarian dan kegemilangan.

“Sebahagian daripada inisiatif itu sudah selesai dan beberapa masih lagi dalam proses pelaksanaan dengan secepat mungkin,” katanya.

Selain itu, Megat Zaharuddin juga menyusun atur dan memperkenalkan misi, visi serta nilai teras baharu FELDA agar organisasi itu mampu menjadi pemacu pembangunan penempatan negara yang progresif.

“Pada 10 April lalu juga, kerajaan membentangkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA dan turut memperkenalkan Model Baharu FELDA. Melalui pelan transformasi itu, FELDA akan distruktur semula tidak lama lagi bagi untuk menjayakan segala usaha ke arah FELDA Baharu,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengumumkan pengerusi baharu berikutan FELDA adalah agensi yang bernaung di bawah kementerian itu.

Berita Harian X