Selasa, 25 Jun 2019 | 12:01am
Pasukan Bomba dan Penyelamat membantu pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort mendapatkan rawatan selepas mengalami sesak nafas dan mual-mual akibat pencemaran udara di sekolah berkenaan. - Foto BERNAMA

Semua sekolah di Pasir Gudang tutup - JPNJ

PASIR GUDANG: Semua institusi pendidikan di kawasan Pasir Gudang ditutup bermula esok sehingga Khamis ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berikutan pencemaran udara.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) , Azman Adnan, berkata semua institusi pendidikan dalam kawalan Kementerian Pendidikan ditutup susulan gangguan kesihatan pelajar di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 111 sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 sekolah swasta serta antarabangsa, selain 347 tadika swasta yang berdaftar dengan JPN ditutup mulai esok (25 Jun) hingga 27 Jun.

“Ia bagi membolehkan usaha mengatasi punca pencemaran dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Azman berkata semua pengetua dan guru besar diminta memaklumkan berita penutupan itu dengan segera kepada semua murid, guru, ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan mereka selain mengambil tindakan susulan sewajarnya.

“JPN akan sentiasa membuat pemantauan rapi dan membantu sekolah-sekolah bagi memastikan kesejahteraan murid berada dalam keadaan yang terbaik.

“Marilah kita bersama berdoa supaya kejadian ini dapat diatasi segera dan sekolah akan dapat beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat demi kebaikan murid,” katanya.

4139 dibaca
Berita Harian X