Isnin, 24 Jun 2019 | 10:42pm

Kes terbaru tiada kaitan Sungai Kim Kim

PASIR GUDANG: Kes terbaru pencemaran udara di Pasir Gudang sejak tiga hari lalu berbeza dengan pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim dalam kejadian terdahulu pada Mac lalu.

Ini berdasarkan dua sebatian kimia, acrylonitrile dan acrolein yang pernah ditemui dalam kejadian di Sungai Kim Kim, didapati tiada dalam penemuan pemantauan kualiti udara di kawasan terjejas dalam insiden terbaru.

Justeru, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata pencemaran terbaru bukan berpunca daripada sisa bahan kimia yang mencemari Sungai Kim Kim, kira-kira tiga bulan lalu.

“Semua sisa kimia berbahaya dalam kes di Sungai Kim Kim sudah dilupuskan menerusi insinerator pada 8 April lalu,” katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini sedang menyiasat 30 kilang yang memproses sebatian kimia sama dengan gas yang ditemui di udara, sekali gus berpotensi menyebabkan pencemaran udara terbaru di Pasir Gudang.

“Namun tiga sebatian kimia berkenaan hanya akan diumumkan dalam masa sehari dua ini selepas ia disahkan secara rasmi,” katanya.

Di PUTRAJAYA, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata kawasan Sungai Kim Kim dalam kejadian pencemaran pada Mac lalu, sudah dibersihkan sepenuhnya.

“Sisa berbahaya yang terkumpul juga dibawa ke pusat pelupusan Kualiti Alam untuk dilupuskan,” kata Zuraida memperbetulkan kenyataan awalnya bahawa punca pencemaran terbaru kerana bahan kimia daripada sisa toksik di Sungai Kim Kim, tidak dilupus sepenuhnya.

Beliau sebelum itu ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena Aidilfitri, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid ketika ditemui pada majlis sama, berkata, pemeriksaan dan pemantauan oleh jabatan berkenaan mendapati bacaan kualiti udara di kawasan terjejas di Pasir Gudang masih pada tahap rendah.

“Atas sebab itu, bomba akan memberi kerjasama kepada semua pihak terbabit dalam kes berkenaan.

“Bagi mangsa, kami bersama Kementerian Kesihatan akan bantu mereka. Saya percaya kebanyakan mangsa yang dihantar ke hospital kini stabil,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar, manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

1122 dibaca
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis (kanan) ketika sidang media mengenai pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X