Isnin, 24 Jun 2019 | 10:07pm
Beberapa murid SK Tanjung Puteri Resort yang terjejas akibat pencemaran udara dimandikan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini. - Foto BERNAMA

30 kilang disyaki punca pencemaran

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor mengeluarkan arahan mandatori penguatkuasaan segera terhadap 30 kilang di sekitar Pasir Gudang yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata 30 kilang kimia berkenaan disenarai pendek hasil pemantauan dilakukan terhadap 265 kilang di kawasan terbabit.

“Kerajaan negeri mengeluarkan arahan mandatori untuk memastikan semua agensi berkaitan tegas dalam membuat penguatkuasaan segera terhadap semua kilang yang berpotensi dalam gangguan alam sekitar bermula hari ini.

“Sehingga kini, siasatan menjurus kepada 30 kilang disyaki menjadi punca kepada pencemaran udara di sekitar Pasir Gudang,” katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad serta Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.


Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Dr Sahruddin berkata, sebanyak tiga kali pemantauan kualiti udara dibuat sehari sejak Khamis lalu, malah ia diperluaskan sehingga radius 15 kilometer dengan keadaan udara semalam adalah normal.

“Mengenai mangsa pula, seramai 75 pesakit dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini dengan hanya empat individu menerima rawatan lanjut di wad dan semuanya dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata sebanyak 134 partikel per juta (PPM) sebatian kimia yang dikesan dalam sampel air kencing dan darah mangsa terjejas akibat pencemaran terbaru dan ia terlalu kecil untuk mengesan sebatian kimia berbahaya secara khusus.

“Malah sebatian kimia yang ditemui juga adalah bersifat separa hayat, iaitu sekitar lima jam dan tidak kekal dalam tubuh (manusia), menjadikannya tidak berbahaya seperti bencana di Sungai Kim Kim,” katanya.

Berita Harian X