Isnin, 24 Jun 2019 | 5:25pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Isu jawatan PM selesai - Anwar

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap isu transisi jawatan Perdana Menteri sudah selesai dan tidak timbul masalah sama sekali antaranya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Perdana Menteri juga sudah menjelaskan apa yang dimeterai dan dijanjikan akan ditunaikan.

“Saya akan bertemu Perdana Menteri sebentar lagi untuk mendapatkan lebih kepastian, malah kami juga berjumpa setiap minggu.

“Soal tarikh dan sebagainya itu di antara kami dan kita harus beri ruang, siapa saja Perdana Menteri harus diberi ruang untuk mentadbir dengan berkesan tanpa diganggu mengenai jadual peletakan jawatan.

“Saya faham itu dan Dr Mahathir juga faham, bagi saya dan Dr Mahathir, isu ini sudah selesai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir ketika ditemubual wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand, ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean kelmarin, yang menegaskan beliau akan meletak jawatan dalam masa tiga tahun dan menyerahkan tugas kepada Anwar.

Persoalan mengenai tarikh beliau akan berundur dan siapa bakal penggantinya mula menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Walaupun sebelum ini pernah mengumumkan Anwar akan menggantikannya, timbul spekulasi bahawa beliau mahukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr Mahathir berkata, setakat yang beliau tahu, beliau sudah berjanji untuk berundur dan Anwar akan menggantikannya.

Ditanya mengenai tempoh tiga tahun untuk peralihan jawatan itu, Anwar berkata, itu hanya andaian.

7374 dibaca
Berita Harian X