Isnin, 24 Jun 2019 | 11:21am
Pekerja swasta, Azizi Othman masih trauma dan bimbang kejadian pencemaran udara masih berlaku. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Penduduk Pasir Gudang bimbang, trauma

PASIR GUDANG: Komuniti setempat yang terjejas akibat pencemaran udara, di sini bukan sahaja diselubungi kebimbangan, malah turut trauma sekiranya bencana sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim sebelum ini berulang.

Tinjauan BH di Taman Nusa Damai dan Taman Scientex, antara dua lokasi yang terjejas akibat pencemaran udara sejak Khamis lalu, mendapati kebanyakan pintu dan tingkap rumah bertutup rapat, manakala keadaan lengang di deretan kedai serta premis komersial.

Kakitangan swasta, Azizi Othman, 51, berkata beliau sekeluarga trauma apabila anak perempuannya, Nor Sazana Izzati, 17, menjadi mangsa pencemaran udara buat kali kedua selepas Sungai Kim Kim.

“Ketika bencana Sungai Kim Kim anak saya antara mangsa terawal sehingga terpaksa dirawat sehingga seminggu akibat sesak nafas dan kelesuan melampau.

“Semalam saya dan isteri bergegas dari tempat kerja apabila sekolah memaklumkan anak saya sesak nafas dan dikejarkan ke Stadium Tertutup Pasir Gudang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Anak saya kini fobia apatah lagi bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya dan isteri terpaksa bercuti hari ini kerana sangat bimbang dengan keadaan anak dan berharap pihak berkuasa tegas menangani isu pencemaran udara supaya ia tidak berulang lagi, ” katanya.

BH hari ini melaporkan 13 lagi sekolah dalam radius enam kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), di sini diarah tutup empat hari mulai hari ini sehingga Khamis.

Ini menjadikan 16 sekolah diarah tutup selepas tiga sekolah diarah berbuat demikian lebih awal semalam,membabitkan jumlah keseluruhan 20,180 pelajar dan guru.

Turut diarah tutup mulai hari ini ialah 69 tadika dan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).

Sementara itu, peniaga, Razali Awang, 62, mengakui terkesan dengan masalah pencemaran udara itu sehingga pelanggan di gerainya berkurangan secara drastik.

“Orang ramai bimbang untuk keluar rumah kerana keadaan di sini lenggang tidak seperti kebiasaannya ramai pelanggan datang membeli sarapan.

“Saya juga tidak membenarkan cucu yang bercuti sekolah untuk keluar dari rumah kerana bimbang pencemaran udara menjejaskan mereka.

“Apa yang lebih membimbangkan punca masih tidak diketahui dan penduduk pun tertanya-tanya apa yang sedang berlaku, ” katanya.

Berita Harian X