Ahad, 23 Jun 2019 | 7:01pm
PENGERUSI ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha. - Foto Reuters

ASEAN setuju bida hak tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034

BANGKOK: Kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034, demikian dimaklumkan oleh Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha.

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di sini.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakyat ASEAN yang hari ini, pemimpin menyokong hasrat bersama ASEAN untuk membangunkan sebuah pembidaan bersama untuk menjadi tuan Piala Dunia FIFA pada 2034.

”Dalam hal ini, saya ingin mempelawa semua rakyat ASEAN untuk bersama-sama menyokong​​​​​​​ persatuan bola sepak kebangsaan anggota negara ASEAN dengan tujuan merealisasikan impian ini secara bersama,” kata.

Prayuth, yang juga Perdana Menteri Thailand bercakap pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berakhir hari ini.

Jepun dan Korea Selatan adalah dua negara Asia yang pernah menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2002.

Tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, berkata badan induk bola sepak dari tiga negara rantau Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah menyatakan hasrat untuk bersepakat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Baginda, yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bagaimanapun, tidak pasti dengan pendirian negara berhubung hal itu tetapi merasakan ia bukan satu masalah jika Malaysia menyokong hasrat menjadi tuan rumah bersama kejohanan tersohor empat tahun sekali itu.

Qatar akan menjadi tuan rumah edisi ke-22 pada 2022. - BERNAMA

Berita Harian X