Ahad, 23 Jun 2019 | 6:45pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar pada sidang media di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pencemaran udara: 16 sekolah, 69 tadika, 1 IPT ditutup

PASIR GUDANG: Sebanyak 16 sekolah dalam radius enam kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, di sini, diarah tutup empat hari mulai esok hingga Khamis ini.

Ia membabitkan 20,180 pelajar dan guru di 16 sekolah berkenaan selain sebuah institut pengajian tinggi iaitu Politeknik Ibrahim Sultan dan 69 tadika yang berada dalam jajaran pencemaran turut diarah tutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata penutupan kesemua sekolah berkenaan diputuskan Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, sehingga kini Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara ( NADMA) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedang mengenal pasti pencemaran bau yang berlaku.

“Arahan penutupan 16 sekolah dibuat bagi meredakan pertambahan mangsa pencemaran bau yang berlaku di sekitar Pasir Gudang berikutan kita mengenal pasti kebanyakan mangsa adalah murid dan pelajar yang belajar di aras tiga dan empat di sekolah masing-masing.

“Berikutan pencemaran bau yang berlaku secara rawak dan berubah mengikut arah angin, puncanya sukar dikenal pasti.

“Namun, Jawatankuasa Teknikal dan Sainstifik sudah memperkecilkan skop siasatan punca pencemaran bau ini dan kita jangka ia akan diketahui sehari dua ini,” katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

Khamis lalu, 15 murid termasuk dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 yang mengalami gejala sesak nafas dan muntah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dipercayai akibat pencemaran udara.

Tiga sekolah dan dua tadika diarah tutup dua hari bermula hari ini dan esok membabitkan kira-kira 3,000 pelajar dan kakitangan sekolah, bagi membolehkan siasatan kes pencemaran toksid dijalankan di kawasan sekitar Sekolah Agama Taman Mawar sehingga punca dapat dikenali pasti.

Pagi tadi, sebuah sekolah lagi iaitu SMK Taman Nusa Damai menerima arahan tangguh persekolahan susulan seramai 20 mangsa mengalami simptom dan dihantar ke hospital.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, sebanyak 13 individu dirujuk ke HSI manakala 49 individu lagi menerima rawatan di klinik sementara Stadium Tertutup dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang sehingga 3.30 petang tadi.

“Keputusan ujian darah lapan mangsa yang ditahan di wad di HSI juga menunjukkan negatif kesan toksik.

“Radius pemantauan juga sudah diperluaskan sejak semalam bagi memastikan tahap keselamatan terkawal.

“Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan maklumat sahih dan bagi sebarang pertanyaan, hubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pusat Gerakan Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor di talian 07-3409999,” katanya.

Berita Harian X