Ahad, 23 Jun 2019 | 4:33pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Perlu kerjasama rentas agensi tangani pencemaran di Pasir Gudang

SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan mahu kes pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor ditangani dengan bersungguh-sungguh merentasi semua kementerian dan agensi berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata demikian ketika mengulas perkembangan terbaru mengenai tragedi berkenaan.

“Saya minta perkara ini ditangani secara bersungguh-sungguh, bukan saja dari pihak Kementerian Kesihatan, sebaliknya perlu merentasi kementerian serta agensi seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain.

“Selain itu, sehingga pagi ini, tiada perkembangan terbaru mengenai pencemaran berkenaan selain tiada mangsa yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Saya melihat gejala dan simptom yang dialami mangsa pencemaran udara kali ini sama seperti yang berlaku sebelum ini iaitu disebabkan gas beracun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jentera Bomba, Pasukan Bomba Sukarela, Saujana Utama, hari ini.

Khamis lalu, 14 pelajar dan dua orang dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), selain 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

226 dibaca
Berita Harian X