Ahad, 23 Jun 2019 | 1:43pm
MENTERI Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal melihat model bangunan selepas menyempurnakan Majlis Letak Kerja Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) baharu di Bukit Senyum, Johor Bahru, hari ini. - Foto BERNAMA

Keputusan sampel darah diketahui esok - MB Johor

JOHOR BAHRU: Keputusan sampel darah semua mangsa terkesan dalam kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang akan diketahui esok.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata sehingga pagi ini juga punca sebenar pencemaran udara yang menjejaskan 13 pelajar dan dua orang dewasa itu belum dikenal pasti.

Katanya, pihaknya kini giat menjalankan usaha bagi mengenal pasti punca sebenar berikutan kes kali ini berbeza dengan kejadian Sungai Kim Kim yang sudah diketahui penyebab utamanya.

“Keputusan ujian darah semua mangsa akan diketahui esok dan kita akan maklumkan (punca pelajar mengalami simptom muntah dan sesak nafas),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Letak Kerja Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) baharu di Bukit Senyum di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani.

Dr Sahruddin juga berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji pembinaan kawasan perindustrian khusus dan terasing dari penempatan awam seperti di Pasir Gudang.

“Saya akan kaji (berhubung cadangan mewujudkan kawasan industri khusus) dengan lebih lanjut,” tambahnya.

Semalam, tiga sekolah dan dua tadika dilaporkan diarah tutup dua hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan di kawasan sekitar Sekolah Agama Taman Mawar, dekat sini, sehingga punca dapat dikenali pasti.

Ia menjejaskan kira-kira 3,000 pelajar dan kakitangan sekolah, antaranya Sekolah Agama Taman Mawar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2, Tadika PASTI dan Tadika Pintar Bistari.

285 dibaca
Berita Harian X